10 November 2010

Guangzhou—Tuan Rumah Sukan Asia Ke-16

02 Zulhijjah 1431 H

Sukan Asia Ke-16 akan dirasmikan di bandar Guangzhou, selatan China pada 12 November ini. Nama bandar ini mungkin tidak asing bagi kebanyakan orang kerana ia disifatkan sebagai bandar yang paling penting di kawasan selatan negara ini.

Untuk membantu saudara lebih mengetahui bandar ini, baik dari segi sejarahnya, ataupun peranannya pada zaman yang moden ini, marilah ikuti kami berkunjung ke Guangzhou sebelum Sukan Asia Ke-16 berlangsung.

Guangzhou, ibu kota provinsi Guangdong, merupakan bandar terbesar di kawasan selatan negara ini. Guangzhou terletak di bahagian tengah selatan provinsi Guangdong, dan utara kawasan Delta Sungai Mutiara.

Bandar ini dikenali sebagai pusat pengangkutan dan perdagangan di kawasan selatan China, kerana kedudukan geografinya yang penting: ia berjiran dengan Hong Kong serta Macau dan Laut China Selatan di selatannya. Ini sebabnya Guangzhou digelar sebagai "pintu selatan China".

Keluasan bandar Guangzhou mencecah kira-kira 7,000 kilometer persegi. Penduduk tetap di bandar ini lebih kurang 10 juta orang. Iklim di bandar ini dipengaruhi oleh monsun tenggara. Cuacanya panas pada musim panas dan nyaman pada musim sejuk. Sungai Mutiara, iaitu sungai ketiga terbesar di negara China, mengalir melalui bandar Guangzhou.

Bandar Guangzhou juga digelar sebagai "bandar kambing" dan "bandar bulir". Menurut legenda ini, bencana alam yang hebat telah berlaku pada zaman Dinasti Zhou, yang wujud pada tahun 1046 sebelum Masihi hingga tahun 256 sebelum Masihi, sehingga rakyat tempatan menghadapi kesukaran yang serius dalam kehidupan.

Pada suatu hari, lima kepulan awan yang berwarna-warni telah berarak ke sana dari Laut Selatan. Awan yang berwarna-warni itu membawa lima orang dewa yang menunggang lima ekor kambing. Kambing-kambing tersebut pula membawa bulir padi sakti yang berwarna-warni di mulut masing-masing.

Sesampainya di tempat itu, kesemua dewa tersebut telah mengurniakan bulir padi sakti itu kepada rakyat di sana untuk membantu mereka mengatasi kesukaran akibat bancana alam.

Lima orang dewa itu, kemudian meninggalkan tempat itu, manakala lima ekor kambing tersebut telah tinggal menetap di sana untuk melindungi rakyat tempatan daripada bencana alam dan menjamin hasil pertanian yang baik dicapai setiap tahun. Rakyat tempatan telah membina sebuah rumah berhala untuk memuja lima orang dewa itu.

Dalam rumah berhala itu, terdapat pahatan lima orang dewa dan lima ekor kambing tersebut. Pahatan lima ekor kambing setinggi 11 meter yang diperbuat daripada lebih 130 ketulan batu granit yang dihasilkan pada tahun 1959 pula tersergam di puncak Bukit Mukegang dalam Taman Yuexiu di bandar Guangzhou. Pahatan ini ialah lambang bandar Guangzhou.

Guangzhou juga mempunyai satu gelaran, iaitu "bandar bunga" kerana orang Guangzhou amat suka pada bunga. Mereka suka menghiasi rumah, kawasan kediaman, malahan bandar ini dihias dengan menggunakan bunga, khususnya pada hari perayaan Tahun Baru China. Sempena hari raya itu,

pesta atau pasar bunga diadakan di merata-rata tempat di Guangzhou. Pada malam sebelum Tahun Baru China pula, sekeluarga bersama-sama melawat pasar bunga selepas makan malam. Ini telah menjadi tradisi orang Guangzhou.

Guangzhou merupakan sebuah bandar yang bersejarah. Dalam tempoh lebih dua ribu tahun, lokasi pusat bandar ini tidak pernah berpindah. Pada masa ini, hanya Rome, Itali yang sama seperti Guangzhou, iaitu dibina terus di tapak asalnya.

Guangzhou juga mempunyai sejarah perhubungan luar yang lama. Ia sekarang tetap merupakan pusat perdagangan luar bagi negara China. Guangzhou ialah tempat bermulanya Laluan Sutera Laut pada zaman purbakala.

Pada ketika itu, ia dianggap pelabuhan yang paling terkenal. Melalui Laluan Sutera Laut itu, dunia Timur disambung dengan dunia Barat, perdagangan dan pertukaran lawatan dapat dijalankan melalui laluan ini.

Guangzhou ialah kampung halaman ramai orang keturunan Cina di luar negara. Menurut statistik, seramai 520 ribu orang keturunan orang Guangzhou yang menetap di 116 buah negara pada masa ini.

Pameran Barangan Import dan Eksport China dianjurkan dua kali setahun di Guangzhou, iaitu pada musim bunga dan musim gugur, semenjak tahun 1957. Hingga kini, pameran tersebut telah dianjurkan sebanyak lebih daripada 100 kali. Pameran ini merupakan pameran yang paling besar skopnya di China.

Pameran ini memainkan peranan yang amat besar untuk menggalakkan hubungan ekonomi dan perdagangan antara Tanah Besar China dengan pelbagai negara dan kawasan di dunia, baik sebelum ataupun selepas dasar pembaharuan dan pintu terbuka dilaksanakan di China.

Terdapat beberapa banyak destinasi pelancongan di Bandar Guangzhou, antaranya Taman Yuexiu, Bukit Baiyun, tebing Sungai Mutiara, Dewan Peringatan Dr. Sun Yat-sen, Akademi Pelajaran Klasik Keluarga Chen, Makam 72 Pahlawan Huanghuagang, Muzium Provinsi Guangdong dan Sumber Air Panas Conghua.

Masjid Huaisheng Guangzhou yang juga dikenali sebagai Masjid Pagoda Guangzhou telah dibina pada awal zaman Dinasti Tang, yang wujud pada tahun 618 hingga tahun 907 Masihi. Masjid ini merupakan salah sebuah daripada 4 buah masjid yang paling awal dibina di China selepas agama Islam diperkenalkan ke negara ini.

Taman Yuexiu yang indah, Sungai Mutiara yang merentasi kawasan pusat bandar, pokok yang merimbun dan bunga yang berwarna-warni, jalan lama dengan kaki lima di kedua-dua tepinya,

kawasan komersial moden dan bangunan pencakar langit, kesemuanya ini telah menjadikan bandar Guangzhou yang indah, yang kini merupakan metropolitan antarabangsa yang terkenal di dunia.

CRI/-

Tiada ulasan: