14 Disember 2011

Mujahid: PAS ganti Umno dan Mohamad Sabu

18 Muharram 1433H. [MOD] -

Program PAS Ganti UMNO (PGU) telahpun dilancarkan awal tahun ini. Ia merupakan satu slogan bagi meyakini orang ramai bahawa ketiadaan UMNO sebagai parti dominon bukanlah bererti orang Melayu hilang arah kerana PAS akan tampil untuk mengambil alih kepimpinan dan politik orang Melayu. Ini bersandarkan kepada realiti bahawa PAS adalah merupakan parti komponen PR yang terbesar berpandukan kepada keahlian, jentera dan pengalaman. Saya boleh bersetuju PGU dalam konteks pengambilalihan kepimpinan politik Melayu tapi awas! Kalau ganti itu membawa makna PAS akan ganti "perangai" UMNO di tampuk pemerintahan, saya akan menolak slogan PGU. Itulah yang diluahkan oleh Timbalan Presiden PAS dalam ucapannya yang disiarkan dalam MerdekaReview pada 5 Disember 2011, ditulis oleh Lim Hong Siang.

Jangan Ganti Perangai UMNO

Perangai buruk UMNO sebagai parti yang memerintah kerajaan persekutuan hari ini boleh disimpulkan dalam satu permasalahan yang dinamakan sebagai isu integriti. Persoalan ini menghantui UMNO dan mendapat persepsi yang buruk di kalangan rakyat. Apakah PAS ganti UMNO untuk rakyat nanti menyaksikan pemimpin PAS hidup mewah di luar kemampuannya? Ataukah bakal-bakal Menteri dalam kabinet Pakatan nanti khususnya PAS akan mengulangi "perangai" minta komisyen atau salahguna kuasa yang ada? Itukah maksud PGU? Persoalan ini membimbangkan Timbalan Presiden PAS itu.

Islam dan Muslimin

Mohamad bin Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu melontarkan satu ide tentang bagaimana Barat lebih dilihat Islamik dari sudut tatacara kelola kewangan negara, ketelusan dan integriti sebuah kerajaan dan hak asasi manusia. Saya teringat akan kata-kata ulamak Islam Syeikh Muhamad Abduh (1849-1905) ketika dia melawat Eropah dia mengkagumi kemajuan dan ketamadunan Eropah (Barat) yang nilainya sama dengan Islam. Dia berkata, "I went to the West and saw Islam, I got back to the East and saw Muslims but not Islam". Saya yakin Mat Sabu tidak berkata tanpa satu pengamatan dari susur galur kebangkitan Eropah dan zaman malap tamadun Islam. Apa yang malang dari kenyataan Mat Sabu ialah keadaan tidak berubah sejak ia diucapkan oleh Syeikh Muhammad Abduh kurun yang lampau.

Tunjuk contoh dulu

Saya memahami bahawa apa yang disebut oleh Timbalan Presiden PAS itu didasari oleh kebimbangan melihat masa depan PAS dan Pakatan Rakyat secara umum jikalau diberi amanah untuk memerintah. Ini adalah kerana tidak ada gunanya kita melaungkan reformasi atau islah jika kita gagal membuat perubahan dan membongkah akar umbi kebusukan yang akan ditinggalkan oleh regim lama BN. Kalau kita mengulangi kebusukan BN maka reformasi kita hanya kosmetik dan hanya tukar baju tapi dalam penuh dengan panau dan kurap. Saya berpendapat bahawa kenyataan Mat Sabu mewakili ramai dari rakyat yang mahukan perubahan yang tulen dan bukan palsu.

Jalan sukar

Berkenaan dengan Arab Spring Revolution yang menumbangkan kebusukan regim diktator dunia Arab, saya berpendapat perubahan regim yang berlaku akan mengalami jalan yang sukar dan berliku. Ini adalah kerana buat sekian lama dunia Arab bukan sahaja berada di bawah pemerintahan kuku besi tetapi kedudukan sosial dan strata masyarakat serta keadaan ekonomi membentuk satu cabaran yang besar kepada order baru seperti Tunisia, Mesir, Libya dan Syria.

Pengajaran

Pengalaman kebangkitan Arab mengajar kita untuk membuat lonjakan dalam melakar perubahan regim. Saya mencadangkan bagi mengukuhkan pandangan Mat Sabu (gambar kiri), lonjakan kita mesti melibatkan program kesedaran, pemodelan negeri Pakatan sebagai contoh dan reformasi parti-parti politik yang perlu dilihat telus dalam menyusun sistem organisasi parti. Parti-parti politik kita khususnya komponen Pakatan masih tidak menunjukkan kesungguhan mereformasi partinya dulu sebelum mampu mengemukakan reformasi politik.

Mat Sabu saja yang tahu

Adapun kenyataan Mat Sabu yang mengatakan golongan kiri dan liberal Barat lebih dilihat bersungguh mengamalkan integriti, ia adalah satu cabaran besar kepada parti Islam yang seharusnya mengungguli prinsip integriti berdasarkan prinsip moral yang dilaungkan. Apakah benar kebimbangan Mat Sabu itu, adakah benar dakwaan beberapa EXCO Kelantan tidak mencerminkan kehidupan sederhana yang dilaungkan oleh PAS?

Saya tidak mempunyai jawapan, hanya Mat Sabu yang tahu apakah maksud yang tersirat daripada kenyataannya. Namun mengenali Mat Sabu, beliau adalah orang yang setia kepada parti dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan apabila memberi pandangan. Saya juga berpendapat Mat Sabu berada sebagai orang nombor dua parti Islam untuk menjalankan tugas mengocak air yang tenang supaya parti jangan berada di zon selesa.

Harakah Daily

1 ulasan:

Pak Mat berkata...

Tau tak Pa... Bila aku tengok DAP di Peneng dan PKR di Selangor... Aku rasa PR mempunyai aset yang cukup hebat.. Tapi bila aku tengok Pas di Kedah.... Aku pikiaq Pas bernasib baik sebab amno tak dak tokoh yang berwibawa kalau tidak... KHUYUBBBBBB....