14 Disember 2011

‘Pengundi hantu penentu kemenangan PRU13’

18 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Dalam nada bersahaja, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pengundi hantu menjadi penentu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.


Beliau berkata, tidak mustahil perkara itu berlaku sekiranya sistem pilihan raya masih tidak bersih, telus dan adil.

Selain pengundi hantu, katanya, undi rakyat Sabah dan Sarawak adalah kunci sebenar jika mahu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Pakatan Rakyat (PR) berpeluang cerah untuk menjadi Kerajaan Pusat jika memperolehi satu per tiga kerusi Parlimen di dua negeri itu yang berjumlah 56 kerusi keseluruhan,” katanya pada Wacana Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, mengikut kiraan bilangan kerusi PR di Semenanjung dan keyakinan berjaya memperoleh beberapa lagi kerusi Parlimen, me­dan sebenar adalah di negeri berkenaan yang sering dianggap sebagai ‘deposit tetap BN’.

“Memang diakui undi dari Sabah dan Sarawak amat penting sekali bagi PR, memang untuk mendapatkan satu pertiga sukar tetapi kita boleh cuba. Ini hakikatnya. Oleh itu, saya berharap pe­ngundi di dua negeri berkenaan cukup berani dan bersedia menghadapi gelombang perubahan,” katanya.

Guan Eng berkata, selain dua negeri itu, PR turut menye­dari undi golo­ngan belia begitu penting sehingga­kan kesemua pihak bertanding sanggup melakukan apa sahaja bagi menarik golongan ini.

“PRU13 sebenarnya adalah masa depan golongan belia. Mereka yang menentukan sama ada mahu hidup di negara yang bebas, bersih dan adil atau sebaliknya,” katanya.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menegaskan bahawa rak­yat negara ini sudah cukup matang bagi memilih kerajaan yang terbaik buat mereka dan menyaran segala sekatan terutama terhadap media dihentikan.

“Apa yang paling penting bagi orang muda adalah aspek kebebasan, bukannya membuatkan mereka takut seperti Akta Universiti Kolej Universiti (Auku). Ini memainkan peranan pada PRU13.

“Di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri menyediakan sudut pidato dan tiap-tiap minggu ada demonstrasi, ini hak mereka dan kami hormatinya,” katanya.

Pada PRU lalu, PR memperoleh 83 kerusi manakala BN, 139 kerusi daripada kese­luruhan 222 kerusi Parlimen.

Sinar Harian

Tiada ulasan: