12 September 2021

Sesi persekolahan 2021 dilanjut hingga Mac 2022

 

Sesi persekolahan untuk tahun ini dilanjutkan hingga Mac 2022. - Foto hiasan NSTP
Sesi persekolahan untuk tahun ini dilanjutkan hingga Mac 2022. - Foto hiasan NSTP


KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan bagi tahun ini akan dilanjutkan hingga Februari tahun depan bagi membolehkan Kementerian Pendidikan (KPM) memastikan semua pelajar, khususnya yang ketinggalan bersedia untuk masuk ke kelas berikutnya.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata lanjutan itu bermakna semua pelajar akan kekal dalam darjah dan tingkatan masing-masing pada Januari dan Februari tahun depan sebelum dibenarkan naik ke peringkat seterusnya bermula Mac 2022.

"Contohnya, murid Tingkatan 1 tahun ini akan kekal hingga Januari dan Februari tahun depan, sebelum naik ke Tingkatan 2 pada Mac 2022.

"Begitu juga sekolah rendah, contohnya murid Tahun 6 tahun ini akan kekal sebelum boleh naik ke Tingkatan 1 pada Mac 2022.

"Satu kumpulan yang akan masuk lambat sedikit ke sekolah adalah pelajar Tahun 1 sesi 2022, yang mana mereka akan mula masuk ke sekolah pada Mac tahun depan," katanya pada sidang media di Putrajaya, semalam.

Radzi berkata, lanjutan sesi persekolahan tahun ini hingga Februari tahun depan diputuskan bagi membolehkan guru menilai tahap penguasaan pelajar khususnya yang berdepan kesukaran mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Tempoh dua bulan pertama tahun depan akan digunakan oleh KPM untuk melihat tahap penguasaan pelajar dan melihat apakah bantuan, sokongan dan dokongan yang boleh diberikan bagi memastikan pelajar bersedia sepenuhnya apabila naik ke kelas berikutnya.

"Bagi pelajar yang mempunyai tahap penguasaan lemah, fokus waktu itu adalah melaksanakan program intervensi bagi membolehkan mereka menguasai tahap minimum sebelum naik ke kelas seterusnya.

"Untuk pelajar cemerlang, tempoh ini digunakan bagi mengukuhkan lagi kefahaman bagi membantu mereka naik ke tahun berikutnya dalam keadaan dapat menguasai topik tahun ini.

"Ini anjakan baharu bagi KPM dalam menangani keadaan di mana sebahagian murid kita mungkin tidak dapat mengikuti PdPR dengan baik, sekali gus kita ada dua bulan untuk bantu persiapkan merekasebelum ke tahun berikutnya," katanya.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, kalendar sesi persekolahan 2022 juga akan dilanjutkan sehingga 2023 susulan lanjutan sesi persekolahan tahun ini.

"Bagaimanapun, sama ada kekalkan hingga Mac 2023, ini kami sedang teliti berdasarkan sesi libat urus yang sedang kami laksanakan dengan pelbagai pihak," katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata, sesi persekolahan secara bersemuka akan dilaksanakan mulai 3 Oktober hingga Mac tahun depan mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan dilakukan secara penggiliran.

Katanya, sesi persekolahan kali ini berbeza sedikit daripada sesi yang lalu kerana kita akan memperkenalkan sistem penggiliran dengan 50 peratus daripada kehadiran daripada keseluruhan kapasiti di sekolah.

"Dengan penggiliran itu, murid akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan kapasiti kelas dihadkan kepada 50 peratus," katanya.

Bagaimanapun enam kategori pelajar dikecualikan daripada penggiliran dalam semua fasa PPN.

Pelajar yang dikecualikan adalah Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK)/Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional(SMPKV)/Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas(SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Turut disenarai pelajar Tingkatan Enam Semester 2 dan The International Baccalaureate®️ Diploma (IBD) Tahun 2, murid sekolah asrama sepenuhnya, pelajar peperiksaan antarabangsa, murid prasekolah, tadika swasta dan pusat perkembangaan minda (4-6 tahun).

Sekolah kurang murid iaitu di bawah 150 orang juga dikecualikan penggiliran.

Radzi turut menjelaskan semua sekolah di negeri Fasa Satu iaitu Kedah dan Johor akan kekal ditutup buat masa ini, sekali gus semua pelajar di dua negeri berkenaan akan meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Bagi negeri di Fasa Dua, semua institusi pendidikan ditutup dan dilaksanakan sesi PdPR tetapi hanya kelas peperiksaan boleh kembali ke sekolah.

Dalam fasa ini juga pelajar Tingkatan Enam Semester Dua dan The International Baccalaureate®️ (IB) Diploma Tahun 2, Program Pra Universiti Sementer 3 di Sekolah Sukan hadir ke sekolah tanpa penggiliran.

Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan pelajar kelas peperiksaan antrabangsa juga boleh hadir tanpa penggiliran.

"Bagi Fasa Tiga, semua institusi pendidikan dibuka secara berperingkat tertakluk kepada ketetapan Kementerian Pendidikan dan penilaian risiko.

Bagi fasa empat PPN, semua institusi pendidikan dibuka sepenuhnya tertakluk kepada penilaian risiko semasa, " katanya.

Mengulas lanjut, katanya kelas bagi FasaTtiga pelajar sekolah rendah masih PdPR kecuali murid prasekolah termasuk di tadika swasta dan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang hadir tanpa penggiliran.

Untuk sekolah menengah hanya murid kelas peperiksaan awam di sekolah asrama, sekolah harian termasuk swasta hadir secara penggiliran.

Bagi Fasa Empat, semua murid sekolah rendah hanya akan bersekolah secara PdPR pada 3 hingga 17 Oktober manakala mulai 17 Oktober, murid Tahap Satu hadir secara penggiliran manakala pelajar Tahap Dua (tahun 4,5,6) PdPR.

Untuk sekolah menengah di negeri Fasa Empat, hanya pelajar peperiksaan awam dan antarabangsa serta MBK dibenarkan ke sekolah mulai 3 Oktober dan pada 17 Oktober hingga 31 Oktober pelajar Tingkatan3 dan 4 sekolah harian/swasta kembali ke sekolah juga dengan penggiliran.

Pelajar kelas peralihan Tingkatan 1 dan 2 pula masih PdPR.

Selepas 31 Oktober semua pelajar sekolah asrama sepenuhnya hadir tanpa penggiliran manakala pelajar sekolah swasta, antarabangsa hadir secara penggiliran.

BH/-

Tiada ulasan: