12 September 2021

Kemerdekaan yang sebenar

 

ALLAH SWT berfirman:

﴿لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لَا انْفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ٢٥٦ اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُمْ مِنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ أُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ  هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ٢٥٧﴾

“Tiada paksaan dalam agama (Islam); kerana sesungguhnya telah jelas jalan kebenaran (Islam) daripada jalan kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang mengingkari taghut (kalangan yang melampaui sempadan Allah), dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang amat kuat dan tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (256); Allah ialah Pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindung mereka ialah taghut yang mengeluarkan mereka daripada cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah penghuni neraka, dan mereka kekal di dalamnya. (257).” (Surah al-Baqarah: 256-257)

Allah SWT menegaskan dalam ayat di atas bahawa tiada paksaan terhadap seseorang untuk menganut Islam, satu-satunya agama yang diterima oleh-Nya dari dunia sehingga akhirat. Ini bermaksud manusia yang berakal tidak dipaksa untuk membuat pilihan agar mereka menganut mana-mana agama dengan rela hati dalam kehidupan di dunia ini.

Namun, setiap manusia perlulah mempercayai bahawa perjalanan hidup manusia itu lebih lama sehingga ke alam akhirat yang kekal abadi. Inilah wawasan yang ditetapkan oleh Islam mengikut ketetapan Allah SWT sebagai Pencipta alam. Terpulanglah kepada diri manusia masing-masing untuk mempercayainya atau tidak, sebagaimana firman Allah SWT:

﴿وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ…٢٩﴾

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): ‘Kebenaran itu datangnya daripada Tuhan kalian, maka sesiapa yang ingin (beriman), maka hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang ingin kufur (tidak percaya), biarlah dia mengingkarinya…’” (Surah al-Kahf: 29)

Adapun wawasan dunia sehingga akhirat itu, berlandaskan aqidah dan tauhid (kepercayaan kepada Tuhan yang Maha Esa) sahaja yang boleh menyelamatkan manusia daripada perhambaan kepada sesama makhluk yang lemah dalam kehidupan dunia yang menjadi ujian ini. Dengan pengertian yang lebih luas untuk membebaskan manusia daripada perhambaan, sama ada perhambaan sesama manusia sendiri atau makhluk lain yang dilantik menjadi tuhan.

Memperhambakan diri kepada mana-mana makhluk adalah bersifat mengongkong seseorang manusia, kerana ia mempunyai sifat kelemahan sebagai makhluk. Khususnya diperhambakan diri kepada manusia yang mempunyai nafsu, suatu sifat makhluk yang tidak mampu mengawal dirinya tanpa sempadan dan ketetapan daripada Allah SWT. Hal tersebut akan menyebabkan berlakunya kezaliman dalam menguruskan kehidupan dan urusan dunianya, sekali gus merosakkan jambatan kebahagiaan di akhirat kelak.

Para Rasul sebagai utusan Allah yang menjadi pilihan-Nya ditugaskan untuk membebaskan umat masing-masing daripada belenggu bertuhankan selain daripada Allah SWT. Selain itu, mengajak umat manusia kepada kemerdekaan yang sebenar dengan mempercayai Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ٣٦﴾

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan pada tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya agar menyeru mereka): ‘Hendaklah kalian menyembah Allah dan jauhilah taghut.’ Maka antara umat itu ada orang-orang yang diberikan hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula orang-orang yang pasti kesesatan baginya. Oleh itu, mengembaralah kalian di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan (Rasul-rasulnya).” (Surah al-Nahl: 36)

Para Rasul berperanan membebaskan diri manusia daripada semua taghut (pelampau) daripada sempadan Allah yang bersifat makhluk yang lemah. Golongan taghut boleh bersikap melampau, sehingga mereka merosakkan manusia dalam segala aspek diri dan kehidupannya.

Kepercayaan kepada golongan taghut menjadi punca berlakunya segala kejahatan dan penyelewengan kepada seluruh manusia. Akhirnya, perkara itu membawa kepada keruntuhan peribadi manusia, keluarga, masyarakat dan negara.

Melantik Tuhan selain daripada Allah SWT, akan merosakkan diri manusia dari sudut roh dan jasad. Apabila perbuatan itu menyesatkan akal mereka, maka ia menjadi benih kepada berlakunya kezaliman dan segala salah laku dalam kehidupan manusia.

Keadaan yang tersebut berlaku akibat daripada keruntuhan aqidah yang merosakkan hati dan akal manusia. Seterusnya menyebabkan keruntuhan akhlak yang menghilangkan jati diri manusia, sehingga menghilangkan sifat integriti yang mengawal keperibadiannya dalam urusan kehidupan dunia yang menjadi tempat ujian. Sebagaimana yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ١ الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا  وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ٢﴾

“Maha Suci Allah, Tuhan yang menguasai kerajaan (pemerintahan); dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1); Dialah yang telah menjadikan adanya mati dan hidup untuk menguji kalian, siapakah antara kalian yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun. (2).” (Surah al-Mulk: 1-2)

Akal dan pemikiran yang baik merupakan keistimewaan bagi setiap manusia, perkara yang membezakannya dengan makhluk yang lain. Namun, manusia sudah pasti mempunyai kelemahan sebagai makhluk.

Justeru, perlulah dipastikan manusia itu berpandukan keimanan atau aqidah dan kepercayaan kepada Allah SWT semata-mata, kerana ia akan membawa kepatuhan kepada-Nya secara mutlak yang terdapat dalam rasa hati manusia. Kemudiannya, ia dapat mengarahkan seluruh anggota jasadnya berperanan melakukan perkara yang baik dan meninggalkan perkara yang jahat. Hal tersebut dilaksanakan mengikut ketentuan Allah Pencipta alam yang Maha Mengetahui akan segala-galanya.

Manusia sangat memerlukan hidayah (petunjuk) daripada Allah SWT, Penciptanya yang bersifat Maha Rahmat, Maha Bijaksana dan segala sifat kepujian bagi-Nya. Manusia hendaklah bebas daripada gangguan mana-mana manusia yang bersifat makhluk yang lemah.

Maka, Rasulullah SAW memulakan perjuangan dengan membebaskan aqidah bangsa Arab di Makkah dalam kalangan ahli keluarganya daripada kepercayaan kepada tuhan selain daripada Allah SWT, dan mengajak semua qabilah Arab di Semenanjung Tanah Arab bersamanya. Walaupun pada masa itu, wilayah Semenanjung Tanah Arab di sebelah timur dijajah oleh Parsi, manakala di sebelah barat pula dijajah oleh Rom. Namun, Baginda SAW tidak menggerakkan bangsa Arab bangkit menentang kedua-dua kuasa besar yang menjajah itu.

Setelah bertapak di Madinah dan menegakkan sebuah negara, ketika itu diizinkan Islam memimpin masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai agama. Kepimpinan berkonsepkan keadilan terhadap semua dan memberikan hak kebebasan untuk menganut agama masing-masing tanpa paksaan. Makkah terlebih dahulu dimerdekakan oleh Rasulullah SAW daripada ajaran selain daripada Islam, walaupun pada awalnya pemimpin Makkah terdiri daripada kalangan keluarga dan juga bangsa Baginda sendiri. 

Seterusnya dihantar perutusan kepada Raja Rom yang menganut Kristian, agama yang mempunyai kitab Allah, dengan dinyatakan makna kemerdekaan yang sebenar yang ditulis sebagaimana firman Allah SWT:

﴿قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ٦٤﴾

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kalian, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak menyekutukan dengan-Nya sesuatu jua apapun; dan jangan pula sebahagian daripada kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan tuhan selain daripada Allah.’ Kemudian, jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya), maka katakanlah kepada mereka: ‘Saksikanlah kalian bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam.’” (Surah Ali ‘Imran: 64)

Ayat di atas bertujuan membetulkan keadaan sebelumnya yang telah memberikan kuasa kepada para paderi untuk memperhambakan para pengikut atau penganutnya kepada hukum yang dicipta oleh mereka sendiri. Sebagai contoh, menghalalkan perkara yang haram seperti menghalalkan daging babi yang diharamkan dan mengharamkan perkara yang halal seperti perkahwinan dan lain-lain. Keadaan tersebut membelenggukan penganut agamanya atau merosakkannya daripada asas aqidah yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada para Rasul-Nya.

Apabila utusan Islam, Rub‘i bin ‘Amir ditawarkan oleh Rustum iaitu Panglima Tertinggi pasukan tentera Parsi dengan tawaran yang lumayan besar dan mewah daripada kerajaan Parsi, dengan tegas Rub‘i menjawab:

اللَّهُ ابْتَعَثْنَا لِنُخْرِجَ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللَّهِ، وَمِنْ ضِيقِ الدُّنْيَا إِلَى سِعَتِهَا، ‌وَمِنْ ‌جَوْرِ ‌الْأَدْيَانِ ‌إِلَى ‌عَدْلِ ‌الْإِسْلَامِ.

“Sesungguhnya Allah telah mengutuskan kami (tentera Islam) untuk membebaskan seluruh hamba yang dikehendaki oleh-Nya daripada perhambaan terhadap sesama manusia kepada perhambaan terhadap-Nya, daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, dan daripada kezaliman agama (selain Islam) kepada keadilan Islam.” (Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, jld. 9, ms. 622)

Kedatangan Islam ke wilayah-wilayah baharu, disambut oleh rakyat kedua-dua kuasa besar itu sebagai penyelamat yang memerdekakan mereka daripada belenggu kezaliman bangsanya sendiri. Akhirnya, mereka menerima Islam dan bersama-sama membina ketamadunannya. Sehingga terdapat daripada kalangan mereka menjadi pemimpin yang mengambil alih kepimpinan Islam, apabila bangsa Arab mulai lemah ilmu Islam dan pegangannya terhadap Islam. Hal ini inyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿هَا أَنْتُمْ هَؤُلَاءِ تُدْعَوْنَ لِتُنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَمِنْكُمْ مَنْ يَبْخَلُ وَمَنْ يَبْخَلْ فَإِنَّمَا يَبْخَلُ عَنْ نَفْسِهِ وَاللَّهُ الْغَنِيُّ وَأَنْتُمُ الْفُقَرَاءُ وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ٣٨﴾

“(Ingatlah)! Kalian ini ialah orang-orang yang diajak untuk menginfaqkan (harta kalian) pada jalan Allah, maka ada antara kalian yang berlaku bakhil; padahal sesiapa yang berlaku bakhil, maka sesungguhnya dia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatu apapun), sedangkan kalian semua orang-orang miskin (yang sentiasa berkehendak kepada-Nya dalam segala hal); dan jika kalian berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berinfaq), nescaya Dia akan menggantikan kalian dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan sepertimana kalian.” (Surah Muhammad: 38)

Kepimpinan Islam beralih tangan kepada bangsa yang paling kuat berpegang kepada ajaran Islam. Apabila bangsa yang sebelumnya lemah pegangan dan ilmunya, maka kepimpinan berubah daripada bangsa Arab kepada bangsa Kurdi, bangsa Turki dan lain-lain bangsa.

Para ilmuwan dalam segala lapangan ilmu dibebaskan daripada belenggu pemerintah sebelumnya, apabila mereka bersama Islam yang memberikan kebebasan dan menggalakkan kemajuan ilmu yang menegakkan tamadun Islam yang pesat berlandaskan iman dan akhlak yang luhur.

Kini, kita menyaksikan betapa tamadun Barat sedang membawa kepada kemusnahan, setelah mereka menyeleweng daripada petunjuk Allah SWT. Hal ini demikian kerana, mereka telah mengubah prinsip dengan meninggalkan agama tauhid kepada pegangan sekularisme. 

Perhatikanlah bagaimana kerakusan manusia dalam perlumbaan mencipta senjata pemusnah yang lebih ganas daripada binatang buas, mencipta ubat-ubatan yang merosakkan akal, alat sebaran maklumat yang menyesatkan, kemajuan yang memusnahkan alam sekelliling dan lain-lain. Semua perkara tersebut berlaku, apabila manusia bertuhankan diri sendiri.

Firman Allah SWT:

﴿ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ٤١﴾

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut disebabkan perbuatan yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya hal yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah al-Rum: 41)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 3 Safar 1443 / 11 September 2021 – HARAKAHDAILY 11/9/2021

Tiada ulasan: