12 September 2021

Boleh hadir ke sekolah tanpa pakaian seragam

 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin bercakap pada sidang media mengenai pengoperasian sekolah di Auditorium Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin bercakap pada sidang media mengenai pengoperasian sekolah di Auditorium Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan hari ini. - Foto BERNAMA


PUTRAJAYA: Pelajar dibenarkan untuk tidak memakai pakaian seragam jika pakaian sedia ada sudah tidak lagi muat.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, namun, murid perlu memakai pakaian yang sopan, kemas dan sesuai untuk ke sekolah.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan semua murid hadir ke sekolah sesuai semangat membawa kembali pelajar ke sekolah.

Beliau berkata selain itu, setakat ini, aktiviti sukan dan kokurikulum belum dibenarkan, namun untuk aktiviti Pendidikan Kesihatan dan Jasmani (PJK), murid disaran untuk memakai pakaian sukan di rumah.

"Sementara itu, bagi waktu rehat, murid akan dibenarkan makan di dalam kelas, namun bagi kelas yang ada penghawa dingin, mereka perlu makan di luar dengan pengawasan guru," katanya.

Menyentuh mengenai isu ketidakhadiran ke sekolah, ibu bapa dan penjaga diberi pilihan untuk tidak menghantar anak ke sekolah dan ketidakhadiran mereka tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin.

Bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga perlu menulis surat penjelasan mengenai ketidakhadiran itu sebagai rekod dan perkara itu akan digunapakai hingga penghujung sesi persekolahan tahun ini.

"Sementara itu, bagi murid yang didapati mempunyai gejala ketika di sekolah, mereka akan menjalani ujian air liur dan diasingkan terlebih dahulu bagi mengelak penularan.

"Bagi yang didapati bergejala, seeloknya jangan hadir ke sekolah," katanya.

Bagi sekolah berasrama penuh, katanya, pelajar akan menjalani tiga kali ujian saringan COVID-19 dalam usaha mewujudkan sekolah berasrama sebagai gelembung selamat.

Katanya, sebelum pelajar kembali ke asrama, mereka perlu menjalani ujian saliva pertama COVID-19, kemudian pada hari keenam, ujian kedua dan seterusnya hari ke 14 untuk ujian saringan ketiga.

"Menerusi pendekatan ini, sekolah berasrama akan menjadi gelembung selamat kepada anak-anak untuk terus berada di sekolah.

"Dalam masa yang sama, pengudaraan juga perlu dipastikan berada pada tahap optimum," katanya.

Beliau berkata, dalam masa yang sama guru, kumpulan pelaksana dan pekerja perkhidmatan sokongan turut ditekankan supaya mendapat vaksinasi sepenuhnya sebelum memulakan perkhidmatan.

Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengeluarkan arahan khususnya dalam konteks kebersihan dan keselamatan untuk memastikan semua kakitangan terbabit sudah divaksin.

"Seperti dinyatakan sebelum ini, mana-mana guru yang belum divaksin juga tidak dibenarkan mengajar di sekolah kerana kita ingin memastikan keseluruhan ekosistem yang selamat.

"Selain itu, KPM juga sudah mendapatkan senarai pengusaha pemandu bas sekolah yang sudah divaksin, namun mungkin ada keciciran dan berharap ibu bapa dapat membuat pilihan yang sewajarnya," katanya. BH/-

Tiada ulasan: