Pihak
pimpinan UMNO dan BN semakin terhimpit dengan krisis keyakinan yang
mereka sedang hadapi. UMNO sekarang mungkin telah sedar tiada apa yang
kita sembunyikan selama ini akan kekal tersembunyi buat selama-lamanya.
Perkembangan dan pembangunan industri media dan maklumat dalam dunia
tanpa sempadan ini sangat menyusahkan UMNO. Tiada apa yang buruk mereka
lakukan tidak dapat disorokkan dan dengan sekelip mata sahaja akan
diketahui umum.
Apabila sampai sahaja maklumat ke satu-satu tempat maka dengan pantas
UMNO akan menghadapi kejatuhan tahap keyakinan rakyat terhadapnya.
Tetapi UMNO masih ada sedikit saki-baki kawasan yang belum ditempuhi
oleh maklumat dan di sinilah UMNO mengharapkan pergantungan sokongan
dari kawasan itu untuk mengharapkan dukungan.
Sejak dua tiga hari ini pimpinan tertinggi UMNO meminta supaya rakyat
jangan percaya dengan media baru yang sedang berkembang dengan pesat
sekarang. Isu ini di jadikan isu harian oleh pimpinan UMNO kerana mereka
tahu yang rakyat lebih percaya kepada kredibiliti media alternatif jika
dibandingkan dengan media arus perdana. Bagaimana mungkin UMNO
terus-terusan bertahan dengan menjadikan media arus perdana sebagai alat
propaganda mereka
Sekarang pimpinan UMNO amat gusar dengan media baru ini kerana mereka
(UMNO) tidak dapat menutupi kerja-kerja mereka yang tidak semenggah
selama ini. Jika tiada media baru ini bagaimana rakyat hendak tahu
tentang isu NFC dengan betul misalnya. Tidak mungkin media perdana akan
melambakkan apa yang sebenarnya berlaku dalam isu lembu dan pinjaman
kewangan terhadap seorang keluarga Ahli Jemaah Menteri yang terlibat
itu.
Tanpa media baru tidak mungkin rakyat tahu bagaimana pimpinan UMNO
menjual harta benda Kementerian Pertahanan yang melibatkan Senator Raja
Ropiah berhubung dengan transaksi tanah Kementah seluas 200 ekar itu?
Jika media baru tidak wujud kita tidak mungkin tahu yang akuan bersumpah
kedua PI Bala itu adalah akuan bersumpah palsu. Rakyat tidak akan tahu
tentang Rosmah berlumba-lumba dengan suaminya dalam pembahagian bisnes
dan kontrak kepada kawan dan sahabat masing-masing.
Semua ini tidak akan diketahui oleh ramai jika tiada media baru
kerana media arus perdana dikuasai oleh UMNO dan semua ketidak telusan
UMNO itu tidak akan disiarkan oleh mereka (media perdana). Bagi orang
ramai media baru ini merupakan saluran alternatif kepada media perdana
dan banyak telah merubah keadaan di negara kita ke arah perubahan yang
baik.
Media baru ini penting kerana ia boleh membuat ‘check and balance’
terhadap laporan media arus perdana. Media baru telah merungkai banyak
hal dalam UMNO. Mereka (UMNO) tidak suka dengan ‘check and balance’
kerana media baru akan menyusahkan mereka untuk mendapatkan ‘cheque and
all the balances’ yang ada dalam perbendaharaan negara untuk pimpinan
mereka.
UMNO sendiri telah mengupah ramai penulis-penulis dalam media baru
tetapi UMNO masih lagi takut menghadapi media baru ini. UMNO telah
mengupah dan membariskan penulis yang handal-handal dan mempunyai
pengalaman yang luas dalam penulisan dan kewartawanan sedangkan di pihak
pembangkang mereka terdiri dari penulis yang amatur dan mereka menulis
dengan sukarela tanpa apa-apa bayaran dan imbuhan.
Saya sendiri bukannya seorang penulis pun tetapi saya mula menulis di
atas desakan keadaan untuk memberikan pandangan yang berbeza dengan
media perdana yang tidak mempunyai laporan yang seimbang. Saya tidak
mahu melihat orang ramai termakan dengan dakyah lapuk UMNO yang tertanam
dalam parti itu sekian lama. Saya begitu sensitif terhadap tindakan
mana-mana pihak memperbodohkan pihak yang lain yang telah berluas-luasa
dalam masyarakat media kita.
Tetapi pihak pembangkang mendapat banyak sokongan dalam media baru
bukan kerana mereka yang berpihak kepada pembangkang itu orang
pandai-pandai, tetapi mereka lebih telus dan jujur serta mempunyai
pemikiran yang jelas dan telus. Orang ramai bukan hendak membaca betapa
hebatnya penulisan dalam media baru itu tetapi mereka memilih untuk
memberikan sokongan kepada berita dan penulisan yang lebih jujur dan
boleh diyakini.
Jika benar apa yang di siarkan oleh media arus perdana itu tidak
dikotori dengan pembohongan masakan rakyat memilih untuk membandingkan
kualiti laporan serta penulisan pihak media baru itu. Pihak UMNO tidak
mungkin dapat mengekang rakyat dari mendekati media baru kerana rakyat
bijak memilih yang mana satu yang telus dan yang mana satu yang
bertujuan untuk mengelirukan mereka sahaja.
Rakyat telah sedar tentang peranan yang berguna yang dimainkan oleh
media baru itu adalah untuk memberikan pandangan yang berbeza dengan
pandangan media perdana yang penuh dengan elemen dakyah yang merosakkan
pemikiran rakyat yang ramai.
Saya pernah dicerca oleh pihak penyokong UMNO dalam media baru ini
yang mengatakan saya mempunyai penulisan yang kurang ‘standard’ nya, dan
tidak seperti ‘standard’ mereka. Saya akui saya bukan seorang penulis
dan saya menumpukan kepada pemikiran dan bukannya kepada nahu dan tata
bahasa yang baik. Saya lebihkan untuk memberikan pandangan dan pemikiran
saya dan saya tidak mahu masuk pertandingan menulis untuk mendapat
hadiah yang besar.
Walau bagaimanapun saya dapat merasakan respons dari masyarakat
sangat baik terhadap pandangan dan kritikan saya terhadap isu yang
mengelilingi UMNO dan BN. Saya tahu kelemahan saya dan itulah sebabnya
saya tidak menggunakan perkataan-perkataan yang kotor seperti ‘bangang’,
‘bodoh’ ‘babi’ dan superlatives yang buruk-buruk dalam penulisan saya.
Saya tahu yang penggunaan istilah kasar dan kotor itu adalah satu
pancaran jelas sama ada seseorang itu terdidik oleh ibu bapa dan
keluarga yang baik-baik.
Kata-kata yang keluar dari mulut seseorang itu melambangkan tahap
darjat seseorang itu. Darjat kita bukan terletak kepada wang ringgit dan
kekayaan kita sebaliknya darjat itu merupakan bayangan kepada darjat
diri kita yang sebenar-benarnya. Semasa saya mula membuat kritikan
terhadap kerajaan melalui penulisan di media baru dahulu, saya pernah
dilemparkan dengan kata-kata kesat seperti bodoh, sial, dan
berbagai-bagai lagi panggilan yang buruk-buruk oleh penyokong UMNO dan
BN.
Tetapi saya memilih untuk berdiam diri sahaja kerana yang mengatakan
saya dan yang lain itu sebagai bodoh itu, adalah orang bodoh yang
sebenar-benarnya. Saya tidak perlu memberikan respons terhadap tindakan
mereka yang tidak mempunyai keperibadian itu. Saya berdiam diri dan
hanya menyandarkan segala-galanya kepada kebenaran tentang apa yang saya
tulis itu. Saya masih mempunyai masa untuk membuktikan segala ketelusan
penulisan saya, malah setengah dari apa yang saya jangkakan itu telah
pun terbukti kebenarannya.
Saya berkeyakinan media baru itu juga mampu untuk memberikan
pelajaran kepada masyarakat tentang perkara baik walaupun tidak semua
boleh memahami nilai sebenar seorang manusia itu. Seseorang yang tahu
membuat penilaian itu hanya lah dari mereka yang terdidik dari keluarga
yang baik.
Dalam media baru ini kita dapat belajar bermacam-macam perkara.
Pengalaman saya selama beberapa tahun ini membuatkan kita lebih memahami
manusia. Kita sudah boleh memahami yang sesiapa yang jiwanya kotor dan
gundah gulana tanpa ketenangan akan dipaparkan oleh mereka sendiri
melalui penulisan dan komen mereka terhadap sesuatu isu itu.
Bahasa mereka akan lebih kasar dan tidak akan membahaskan sesuatu isu
itu secara terbuka malah mereka terus sahaja melepaskan kata-kata kesat
yang tidak selayaknya keluar dari insan yang secantik-cantik kejadian
Tuhan itu.
UMNO sememangnya dalam keadaan terdesak sekarang ini. Sekarang media
baru pula yang mengancam mereka. Bagaimana UMNO boleh bersandar kepada
media arus perdana lagi? Sudah terbukti media perdana sudah menjadi
bahan sindiran akhir-akhir ini kerana terlalu kerap gagal mempertahankan
kewibawaan mereka di mahkamah.
Utusan misalnya telah terbukti sebagai salah satu punca fitnah dengan
kegagalan mereka dalam beberapa saman yang difailkan oleh beberapa
orang pimpinan Pakatan Rakyat sejak akhir-akhir ini. Mahkamah telah
membuktikan yang media perdana telah melakukan banyak fitnah yang tidak
ada batasnya terhadap pimpinan pihak alternatif. Mereka ini (media arus
perdana) hanyalah merupakan ‘political bouncers’ untuk mengekang
kebenaran dari di ketahui umum.
Utusan sahaja terpaksa membayar jutaan ringgit kepada mereka yang
telah menjadi mangsa fitnahnya sejak akhir-akhir ini. Itu sahaja sudah
cukup untuk membuktikan bahawa media arus perdana itu merupakan sumber
besar fitnah yang berkeliaran di mana-mana sekarang. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan