12 Januari 2012

Wang zakat: Pemimpin PKR buat laporan polis

18 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi hari ini.

Nik Nazmi berkata, laporan polis itu dibuat agar Jamil berserta Che Mat dan Shamsuddin disiasat di bawah Akta 613 Seksyen 409, Seksyen 415 dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan masing-masing berkenaan dengan pecah amanah jenayah oleh perkhidmatan awam atau ejen, menipu dan pecah amanah.

"Laporan polis telah dibuat dan bukti akan kami berikan kepada pegawai penyiasat esok," katanya pada sidang media hari ini.

Laporan polis itu turut di buat oleh Jingga 13.Sebelum ini, Nik Nazmi mendakwa Jamil, Che Mat dan Shamsuddin menggunakan wang zakat MAIWP untuk tujuan kos guaman dan tindakan itu menyalahgunakan proses mahkamah terhadap penjawat awam.

Bagaimanapun, dakwaan itu telah dinafikan oleh Jamil Khir dan Che Mat.

Che Mat berkata, bayaran kos guaman bagi kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diambil daripada peruntukan kerajaan yang disalurkan kepada badan itu setiap tahun dan pendapatan MAIWP melalui sumber am seperti sewaan, dividen, aset dan lain-lain perolehan.

Bagaimanapun, Jamil pula menegaskan, wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Umum PKR itu bukan wang zakat MAIWP, tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman.

"Setiap tahun kerajaan beri bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes libatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita pakai duit ini lah," katanya.

Justeru Nik Nazmi berkata, percanggahan jawapan antara Che Mat dan Jamil menimbulkan kekeliruan dan beliau mendesak agar Jamil tampil membuat pengakuan.

"Sekarang ini kita nak Jamil mengaku benar atau tidak dia gunakan duit itu. Jika ya, kenapa selama ini dia nafi? Orang lain sudah sahkan, dari laporan audit, kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

"Kenapa takut sangat untuk mengaku? Perkara ini bukan main - main dan kita pandang serius kerana melibatkan ia melibatkan wang zakat," katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: