اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌۭ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍۢ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ ﴿١٨﴾
أَشْهَدُ أَنْ لَّآإِلهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ, وَرَسُوْلُهُ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ ! اتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَاتَمُوْتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ
Wahai Hamba-hamba Allah sekelian,
Marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT, dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita digolongkan di kalangan orang-orang yang selamat di dunia dan di akhirat kerana istaqamah dengan Islam.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Islam bererti menyerah diri dan tunduk kepada Allah SWT. Islam berasal dari kalimah SALIMA (سَلِمَ) yang bererti selamat dan sejahtera. Justeru, ia memberi mesej bahawa untuk selamat dan mendapat kesejahteraan, kita sebagai hamba-Nya hendaklah tunduk menyerah diri kepada Allah SWT, Tuhan yang mencipta kita. Hanya dengan Islam, kita akan mendapat keselamatan yang hakiki. Rasulullah s.a.w pernah menghantar surat kepada ketua kerajaan Rom dalam misi dakwahnya yang tertulis seperti berikut;
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَـنِ الرَّحِيمِ، مِنْ مُحَمَّدٍ، عَبْدِ اللهِ وَرَسُولِهِ اِلىَ هِرَقْلَ عَظِيمِ الرُّومِ، سَلاَمٌ عَلىَ مَنِ اتَّبَعَ الْهُدَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَاِنِّي أَدْعُوكَ بِدِعَايَةِ اْلاِسْلاَمِ، أَسْلِمْ تَسْلَمْ، يُؤْتِكَ اللهُ أَجْرَكَ مَرَّتَيْنِ. فَاِنْ تَوَلَّيْتَ فَاِنَّ عَلَيْكَ اِثْمَ الأَرِيْسِيِّيْنَ.
"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dari Muhammad, hamba Allah dan utusan-Nya; kepada Herkulis, Maharaja Rom. Salam sejahtera ke atas sesiapa yang mengikut petunjuk. Dengan itu, saya menyeru engkau dengan seruan Islam. Masuklah Islam, nescaya engkau selamat. Allah akan memberimu ganjaran dua kali. Maka jika engkau berpaling, maka engkau akan menanggung dosa rakyatmu termasuk para petani dan peladangnya." - (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)
Dalam seruan ini, baginda menegaskan bahawa tindakan memeluk Islam akan menyelamatkan seluruh manusia termasuk para pembesar yang memerintah. Sebaliknya, manusia yang berpaling dari Islam akan menanggung dosa. Namun begitu, bagi seorang raja dan pemimpin, maka dia akan menanggung dosa rakyatnya yang tidak memeluk Islam jika dia tidak menyeru rakyatnya untuk memeluk Islam. Ini kerana manusia secara nalurinya mudah menurut agama dan kepercayaan para pemimpin mereka. Kaedah feqah menyebutkan :
اَلنَّاسُ عَلَى دِيْنِ مُلُوْكِهِمْ
“Manusia mengikut agama pemimpin mereka”.
Muslimin Mukminin yang berbahagia,
Islam menyelamatkan seluruh makhluk termasuk manusia dan jin. Islam menyelamatkan manusia dalam dua alam kehidupan iaitu:
Pertama : Islam menyelamatkan manusia di alam akhirat.
Hanya mereka yang beriman akan diterima oleh Allah SWT dan selamat dari azab neraka. Seorang Muslim adalah manusia yang tunduk dan patuh kepada segala perintah Allah SWT. Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 85:
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ ٱلْإِسْلَـٰمِ دِينًۭا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى ٱلْءَاخِرَةِ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ
"Sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya; pada hari akhirat kelak dia tergolong daripada orang yang rugi".
Kedua : Islam menyelamatkan manusia di dunia.
Hanya dengan Islam, kita dapat menjalani kehidupan kita sebagai manusia dengan selamat. Islamlah yang telah menyelamatkan manusia daripada kegelapan jahiliyyah. Pada zaman Rasulullah s.a.w. Manusia diberi bimbingan supaya menjadi makhluk yang mulia dan bermaruah. Islam jugalah yang telah menyelamatkan manusia di seluruh dunia dari kezaliman Raja Rom dan Parsi. Sistem keadilan Islam telah menjadikan manusia bebas sebagai rakyat di bawah undang-undangnya. Islam jugalah yang akan menyelamatkan manusia hari ini dari segala kecelaruan dan kerosakan moral jahiliyyah.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Dunia dan manusia hari ini berada di tepi jurang kehancuran. Ia bukan kerana bahaya penyakit dan kematian mahu pun bencana alam yang memusnahkan sebahagian manusia, tetapi kemusnahan yang lebih hebat berlaku disebabkan oleh sikap manusia yang mula menolak nilai-nilai agama dan kebaikan dari kehidupan mereka. Apabila manusia hidup hanya berpandukan logik akal dan kemahuan mereka sendiri tanpa bimbingan wahyu, mereka akan berdepan dengan kebinasaan. Apa yang binasa bukanlah tubuh badan dan kesihatan mereka. Sebaliknya unsur dan nilai kemanusiaan hilang dalam diri dan masyarakat sehingga mereka tidak ada beza dengan binatang buas dan haiwan ternak.
Manusia pada zahirnya kekal hidup dan sihat tanpa agama itu tidak mempunyai peri kemanusiaan lagi. Ada yang membunuh anak-anak sendiri yang masih bayi. Ada yang menzalimi sesama manusia; menipu dan memperdayakan orang lain, mempergunakan undang-undang untuk keuntungan diri sendiri walaupun menganiaya orang susah dan miskin. Sedangkan haiwan dan serangga seperti lebah dan semut pun hidup bekerjasama, untuk manfaat dan maslahat bersama. Malangnya, manusia yang tidak dipandu agama yang benar sanggup menindas manusia lain kerana pemikirannya yang sudah menyimpang.
Ada segelintir manusia pula yang percaya bahawa mereka berasal daripada haiwan, berubah beransur-ansur sehingga menjadi manusia. Ada pula manusia menganggap tidak salah berpakaian mendedahkan tubuh badan kerana pada pandangan mereka manusia perlu mengikut perkembangan fesyen zaman moden.
Semua ini berlaku kerana manusia jauh daripada bimbingan Allah yang mencipta mereka dan mereka cuba mentadbir urusan hidup mereka sendiri. Mereka semakin jauh dari nilai-nilai manusia yang membezakan mereka dengan haiwan.
Di sinilah pentingnya Islam sebagai agama penyelamat yang diturunkan oleh Allah SWT. Namun, Islam tidak akan dapat menunaikan tugas untuk menyelamatkan manusia sekiranya ia hanya dijadikan agama upacara dan acara tertentu sahaja. Islam perlu ditegakkan sebagai sistem kehidupan, dasar negara dan perundangan yang mengatur hubungan sesama manusia. Hanya dengan berpegang kepada ajaran Islam, manusia akan selamat dalam kehidupan dunia dan menjadi khalifah yang mentadbir dunia dengan adil dan sejahtera.
Muslimin Mukminin yang dikasihi,
Untuk hidup sempurna mengikut Islam, semua pihak hendaklah sentiasa memastikan tindak-tanduk dan perlakuan berada dalam landasan Islam. Semuanya bermula dengan kesedaran betapa pentingnya ilmu khususnya ilmu-ilmu Islam. Ini kerana urusan yang berlaku dalam masyarakat hanya dirujuk kepada ilmu yang sebenar.
Kita hendaklah kembali kepada aqidah Islam yang sebenar. Ini kerana kecelaruan umat hari ini adalah disebabkan oleh kelemahan aqidah yang boleh menghancurkan masyarakat. Mudah-mudahan kita akan diselamatkan oleh Allah di dunia dan di akhirat.
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ كَمَا ٱسْتَخْلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ ٱلَّذِى ٱرْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًۭا ۚ يَعْبُدُونَنِى لَا يُشْرِكُونَ بِى شَيْـًۭٔا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ ﴿٥٥﴾
"Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan serta mengembangkan agama mereka yang telah diredhai-Nya untuk mereka dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan. Mereka terus beribadah kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang yang derhaka".
- (An-Nur : 55)
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan