12 Januari 2012

KEADILAN: Bekukan aset NFC sebelum EGM

18 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 12 Jan: KEADILAN sekali lagi mendesak kerajaan supaya membekukan aset National Feedlot Corporation (NFC) sebelum syarikat itu mengadakan mesyuarat agung tergempar (EGM) dan mesyuarat lembaga pengarahnya.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata pembekuan aset itu penting bagi memastikan NFC tidak melakukan penstrukturan semula kerana ia akan membantutkan siasatan polis.

Menurutnya, amat mencurigakan apabila NFC merancang mengadakan EGM dengan hanya memberikan tiga hari notis, yang menunjukkan ada sesuatu yang cuba disembunyikan.

“Di antara agenda yang akan dibincangkan termasuklah membuat keputusan mengenai cadangan pengambilalihan National Meat & Livestock Corporation (NMLC) yang dimiliki oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil oleh NFC,” katanya yang memperolehi maklumat itu dari sumber dalaman NFC.

“Saya percaya tindakan tergesa-gesa memanggil mesyuarat Lembaga Pengarah NFC dan EGM dalam tempoh yang singkat ini berniat tidak baik dan akan mengganggu siasatan terhadap NFC yang sedang berjalan,”

“Pada masa yang sama, keputusan-keputusan yang diambil boleh merugikan rakyat melalui pelbagai urusniaga di antara NFC dan syarikat-syarikat milik keluarga Shahrizat seperti yang didedahkan sebelum ini,” ujarnya.

Justeru itu, Rafizi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak boleh berdiam diri, sebaliknya mesti segera campur tangan kerana beliau yang menganugerahkan projek berkenaan kepada NFC selaku Pengerusi Jawatankuasa Projek Impak Tinggi.

Ekoran itu, beliau mencadangkan kerajaan melantik pentadbir korporat sementara yang bebas untuk mengambil alih pentadbiran NFC.

“Oleh kerana ada cubaan di pihak NFC untuk menjalankan urusniaga yang mencurigakan, saya mencadangkan kerajaan Malaysia melalui wakil-wakilnya di dalam Lembaga Pengarah NFC perlu melantik pentadbir korporat sementara yang bebas untuk mengambilalih pentadbiran NFC sementara siasatan selesai,” ujarnya.

Keadilan Daily

Tiada ulasan: