12 Januari 2012

Remaja perempuan maut dikelar

18 Safar 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Seorang remaja perempuan yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditemui mati dengan kesan kelar pada bahagian leher di dalam rumahnya di Taman Kempas, di sini, semalam.

Mangsa, C Sivaranjini, 18, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik tidur remaja terbabit oleh bapanya yang ketika itu baru sahaja pulang dari tempat kerja.

Ketika kejadian sekitar jam 10 pagi itu, mangsa yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kempas, di sini, dipercayai tinggal bersendirian di rumah, manakala ibu bapanya keluar bekerja di Singapura dan dua adik lelaki pula sedang bersekolah.

Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai memasuki rumah mangsa menerusi pintu belakang sebelum bertindak mengelar leher Sivaranjini dengan menggunakan objek tajam seterusnya melarikan diri menggunakan motosikal.

Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan tiga lelaki di tiga lokasi berasingan iaitu Kempas, Pasir Gudang dan Senai, hasil tindakan pantas menerusi maklumat diperoleh.

Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 20 hingga 50 tahun itu bakal ditahan reman bermula esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung motif sebenar kejadian itu.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: