12 Januari 2012

Shamsul: Saya pun boleh saman Perkasa

18 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 12 Jan: Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin tidak ada halangan sekiranya Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) mahu memfailkan saman terhadap beliau.

Ia ekoran desakan beliau meminta pertubuhan itu menafikan penglibatan mereka dalam insiden letupan berhampiran Mahkamah Jalan Duta pada Isnin lalu.

Sebaliknya, kata Shamsul, beliau juga boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pertubuhan itu kerana memutar belitkan kenyataannya.

“Saman itu adalah hak Perkasa.. saya bersedia untuk menjawab persoalan yang dikemukakan sekiranya mereka benar ingin mengemukakan saman. Tetapi saya juga mempunyai hak untuk menyaman mereka sekiranya dakwaan mereka kosong,” kata Shamsul.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Melaka itu mengulas laporan portal Sinar Harian hari ini yang memetik kenyataan Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali yang mahu mengkaji tindakan perundangan ke atas beliau.

“Biar lah mereka nak saman..tapi isu yang saya bangkitkan di dalam media ialah saya membuat desakan kepada Perkasa menafikan mereka terlibat dalam insiden letupan itu.

“Ini kerana mereka juga kelompok yang berada di situ (mahkamah),”

“Saya fikir mungkin Perkasa tidak dapat membezakan desakan untuk menafikan dengan tuduhan,” ujar beliau yang juga seorang peguam.

Dalam pada itu, Shamsul meminta pihak polis mengambil tindakan terhadap laporan Utusan Malaysia yang kononnya memetik sumber polis dengan mendakwa bom berkenaan dibawa peserta himpunan 901.

“Mengapa Utusan Malaysia melabel hanya satu kumpulan iaitu penyokong kempen Anwar Bebas sahaja yang terlibat (insiden letupan), sedangkan ada kumpulan-kumpulan lain termasuk penyokong Saiful dan Perkasa,” tegas beliau.

Sehingga kini, katanya, tidak ada sebarang kenyataan rasmi dari pihak polis mengesahkan laporan berkenaan.

“Sekiranya tidak betul mereka (Utusan) harus membuat jawapan balas atau mengemukakan kenyataan atau sumber dari pihak polis.

“Ia perkara sulit. Mana boleh perkara itu bocor kecuali pihak polis sendiri mahu membocorkan, sebab itu perlu ada jawapan segera dari PDRM. Kalau tidak rakyat akan semakin hilang kepercayaan terhadap pihak polis,” katanya.

Keadilan Daily

Tiada ulasan: