26 Mac 2013

Saiful, Azlan dalam politik Malaysia

14 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Kisah Saiful Bukhari Azlan akhirnya menjadi drama yang berliku-liku. Tulisan Lim Hong Siang dalam Suara Keadilan 19 Mac lalu, dapat dikatakan menarik. Lim tidak mengatakan peralihan sikap bapa Saiful, iaitu Azlan Mohd Lazim sebagai sesuatu yang untungkan PKR atau sebaliknya.

Saya tertarik dengan istilah disebutkan Lim. Bunyinya boleh dikatakan carutan, tetapi perkara ini dapat dilihat secara akademik. Dalam bicara ini, saya akan guna istilah “politik anal”, iaitu keadaan politik yang dipadankan dengan tahap kedua psikoseksual Freud.

Bagi Freud, tahap pertama perkembangan manusia disebut oral. Ini ialah tahap terlalu awal, dan bayi tidak tahu apa-apa melainkan lapar dan dahaga. Bayi mengharapkan bahagian mulutnya dilayani.

Tahap anal ialah tahap kedua. Ini ialah tahap kanak-kanak berasa seronok ketika buang air besar. Tanpa menyatakan simbolisme daripada kisah mahu disampaikan, tahap anal ialah tahap terpinga-terpinga. Tetapi, tahap ini penting kerana ibu bapa mendidik anak kecil agar tidak jadi pengotor. Tahap ini (usia 1-3 tahun) ialah tahap toilet training.

Tahap seterusnya ialah tahap genitalia, iaitu bila kanak-kanak menghadapi oedipus complex (bagi lelaki) dan electra complex (bagi perempuan). Freud membincangkan hubungan akrab anak lelaki dengan ibunya, dan anak perempuan dengan bapanya.
Neo-Freudian muncul kemudian. Dalam Neo-Freudian,  lelaki mempunyai perasaan ingin berperang dengan ketuanya. Apabila berlaku pertentangan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Tun Dr Mahathir Mohammad, bagi saya sahihlah Neo-Freudian benar.

Pertentangan Anwar dengan Mahathir itu menyamai pertentangan dalam Gapena. Tan Sri Ismail Hussein pernah dicabar penulis-penulis muda. Sekurangkurangnya dua orang penulis muda menentang Ismail pada masa-masa yang berlainan.

Melalui pandangan ini, keseluruhan peristiwa dalam politik Malaysia dapat dilihat secara lebih objektif, tidak sangat bergantung pada huraian sosialisme, keagamaan, nasionalisme dan beberapa pegangan politik lagi. Kita akan melihat ketegangan dan
perpecahan dalam politik kepartian sebagai satu hakikat dan kemestian. Hal demikian berlaku dari masa ke masa.

Lim berasa kesal kerana terlalu lama rakyat Malaysia membuang masa kerana melayani politik anal. Katanya, tidak hairanlah mengapa politik dikatakan kotor. Dalam psikoanalisis Freud, terdapat anal-expulsive dan anal-retentive.

Istilah pertama itu bermaksud gemar buang air besar, manakala satu lagi penangguhan buang air besar. Kebiasaan-kebiasaan itu memberi pengaruh terhadap perwatakan. Untuk memudahkan pemahaman, ahli politik yang pemurah, iaitu memberikan bantuan kepada rakyat ialah anal-expulsive. Ahli politik yang berjanji akan bantu rakyat, tetapi tidak laksanakan kerana kedekut (stingy) ialah anal-retentive.

Dengan memahami konsepkonsep Neo-Freudianisme ini, kita tidak lagi cenderung menghentam ahli politik yang mengatakan manifesto bukannya janji. Hakikat dalamannya, ahli politik berkenaan tidak suka berbelanja. Tidak hairanlah jika rakyat tertunggu-tunggu bantuan kebendaan daripada ahli politik anal-retentive ini. Sebaliknya rakyat gembira jika pemimpin mereka jenis anal-expulsive.

Apakah kaitan cerita Saiful dan Azlan dengan gambaran ahli politik yang pemurah dan kedekut? Peristiwa di sekitar mereka kelihatannya terasing, tetapi bila kita menjangkau jauh ke dasar persoalan, akan kita temukan manusia pemurah dan kedekut. Kita boleh bertanya, mengapa Azlan membuat kejutan setelah begitu lama berada di barisan penentang Anwar?

Melalui pendekatan Freudian, dapat kita lihat Azlan ialah tokoh cerdik. Beliau melampaui tahap oedipus complex, dan berada di kawasan dormant untuk sementara waktu.

Pihak kerajaan, kata Lim telah lama bermain dengan isu tahap anal Saiful. Kini kita akan lihat pihak PR pula ambil alih kerja itu. Suara Keadilan umum Azlan akan menjelajah seluruh negara membawa ‘kisah benar’nya. Kita tidak tahu reaksi Saiful dalam hal ini. Jika Saiful mempertahankan seluruh percakapannya selama ini, maka kesegaran politik anal bertambahan. Rakyat tidak perlu cemas. Lihatlah semua ini sebagai bibit kematangan politik kita.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: