NEW YORK - Pihak polis kini sedang mencari pemandu sebuah kereta BMW
dan seorang penumpangnya yang melarikan diri selepas terlibat dalam satu
perlanggaran dengan sebuah teksi yang mengorbankan dua penumpang
semalam.
Nahas itu menyebabkan seorang ibu muda yang sarat mengandung dan
suaminya terkorban namun anak dalam kandungannya berjaya dilahirkan
menerusi pembedahan di sebuah hospital.
Mangsa-mangsa yang mati itu, Nachman Glauber dan isterinya, Raizy
Glauber, yang masing-masing berusia 21 tahun itu sangat berharap untuk
menyambut kelahiran anak pertama mereka.
Bagaimanapun, kini bayi tersebut terpaksa dibesarkan oleh sanak saudara dan jiran tetangga pasangan malang berkenaan.
Nahas yang menyayat hati itu berlaku di Williamsburg, Brooklyn ketika
pasangan tersebut sedang dalam perjalanan ke sebuah hospital awal pagi
Ahad lalu, menurut jiran mereka, Isaac Abraham.
Nachman yang tersepit di dalam kereta terpaksa dibantu pasukan
penyelamat dengan memotong bumbung kereta untuk mengeluarkannya, kata
beberapa saksi.
Kedua-dua mangsa diisytihar mati di hospital dan pegawai perubatan
yang memeriksa mereka berkata, mangsa meninggal dunia kerana mengalami
kecederaan parah. - AP
APGAMBAR menunjukkan lokasi nahas perlanggaran yang mengorbankan seorang ibu di Williamsburg kelmarin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan