11 Disember 2011

Nik Aziz bidas Umno guna istilah ‘jihad’ hadapi PRU-13

15 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyelar penggunaan istilah jihad oleh Umno, dalam perhimpunan agungnya minggu lalu, bagi mengajak lebih tiga juta ahlinya menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Menurut Nik Aziz (gambar), istilah jihad itu berasal daripada al-Quran dan hanya sesuai digunakan untuk tujuan menegakkan Islam.

Justeru, beliau mempersoal jihad yang dimaksudkan Umno sedangkan parti itu terpalit dengan salah guna kuasa dan rasuah.

“Jihad ini istilah al-Quran. Kerana apa mereka curi perkataan jihad dan tafsir mengikut kefahaman sendiri?

“Mereka sifatkan jihad untuk mempertahankan orang Melayu. Islam bukan untuk orang Melayu, bukan untuk Arab, bukan untuk Cina tapi untuk manusia,” katanya dipetik Harakahdaily.

Ketika berucap merasmikan secara serentak Persidangan Tahunan Puteri, Pemuda dan Wanita Umno minggu lalu, Timbalan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa ahli-ahli Umno berjihad untuk mempertahankan kuasa orang Melayu dengan mengekalkan kemenangan dalam pilihan raya umum ke-13 yang menurunya merupakan “ibu segala pilihan raya.”

Susulan tsunami politik tiga tahun lalu, Muhyididn menegaskan, pilihan raya umum ke-13 akan menentukan jatuh bangun umat Melayu dan kelangsungan mereka.

“Sesungguhnya, kita sedang berada dalam satu situasi yang amat kritikal. Pilihan raya umum ke-13 adalah ibu segala pilihan raya yang akan menentukan jatuh bangun umat Melayu. Apakah kuasa politik kekal berada di tangan kita? Atau akan terlepas ke tangan orang lain?” kata beliau.

Malah dalam ucapannya, sambil menyifatkan PAS berhadapan dengan pilihan raya “setiap hari”, Nik Aziz ibaratkan Umno sebagai bas ekspres yang singgah di tengah jalan untuk makan buah-buahan tetapi tidak sampai ke destinasi disasarkan.

“Umno atau golongan sekular kalau kita andaikan, seperti bas ekspres dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Tapi berhenti di Gua Musang, terliur tengok buah-buahan banyak, maka berhenti di situ sahaja, tak sampai ke Kuala Lumpur,” kata beliau menyampaikan ucaptama pada Ijtimak Tarbawi Pilihan Raya di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad dekat sini, hari ini.

“Samalah dengan Umno, nak ke syurga tapi tersekat separuh jalan kerana terpedaya dengan segala pembangunan dan kekayaan di dunia,” kata beliau yang juga Menteri Besar Kelantan.

Sehubungan itu, Nik Aziz mengingatkan ahli agar memanfaatkan sistem pilihan raya yang ada untuk memenangkan PAS agar dapat berjihad menegakkan Islam.

Ini kerana menurut Nik Aziz, tanpa kuasa amat sukar untuk PAS membanteras segala kemungkaran di muka bumi, khususnya yang dilakukan orang Islam sendiri.

“Tanpa kuasa, kita boleh menyatakan haramnya judi, arak, hiburan melampau batas dan sebagainya, namun ia hanya akan terbatas di mimbar masjid dan helaian kitab sahaja tanpa ditegakkan dalan sistem pemerintahan,” katanya lagi.

Nik Aziz juga berkata perjuangan PAS bukan semata-mata menentang Umno BN, tetapi yang lebih utama menentang ajaran sekular yang didukung parti itu.

Katanya, akibat memperjuangkan sekular, orang Umno tidak diingatkan mengenai kewajipan melawan hawa nafsu dan menolak pujuk rayu syaitan.

“Perjuangan PAS bukan perjuangan menentang Umno semata-mata tapi yang lebih besar mengajar manusia mengikat hawa nafsu.

“Pilihan raya bukan hanya lima tahun sekali, tapi orang Islam melakukan pilihan raya setiap hari, sepanjang masa.

“Umno tidak pernah didengarkan oleh pemimpin mereka untuk menjauhkan diri dari syaitan,” kata beliau lagi.

themalaysianinsider/-


3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

biasa la, nak tunjuk Islamik walau apa yang dcakap dan dibuat tak Islamik langsung. moga rakyat nampak lakonan puak ini yang penuh dgn perkauman.

Tanpa Nama berkata...

Masa tengok dalam TV3 ,ucapan Najib mengajak berjihad ,jelas membuktikan 'bukan sekadar bodoh dan tak berilmu agama tetapi juga mengajak orang lain supaya memperbodohkan diri dan bekerja bersungguh sungguh demi mempastikan mereka masih dapat berkuasa'.... bagaimana rakyat yang cerdik dan berilmu dah terasa akan 'ketempangan' ayat tersebut. Tapi ramai yang buat tak perasan..sebab apa ? sebab dah banyak makan gula gula ....Gula gula aje.... itulah yang berlaku terhadap rakyat malaysia yang telah di ubatkan dan boleh di pujuk dengan gula gula aje.... hi hii...

ALLAH BERSAMA ORG2 YG SABAR, BENAR berkata...

Kalau masa Perang Salib dahulu, tentera2 Salib juga pakai istilah Holy War... padahal mereka adalah golongan pembuat kerosakan, membunuh semua org Islam, org tua2, wanita & kanak2. Layakkah Umno yg membuat kerosakan di Malaysia, turun BERJIHAD? Umno lebih sesuai dgn pejuang BERJAHAT...