29 Januari 2012

Syarikat penerbangan Spanair muflis

5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GAMBAR fail pada 20 Ogos 2008 menunjukkan sebuah pesawat Spanair berlepas dari lapangan terbang Barajas di Madrid.


MADRID, Sepanyo - Berpuluh ribu penumpang di lapangan-lapangan terbang Sepanyol terkandas semalam selepas syarikat penerbangan tempatan, Spanair membatalkan semua penerbangannya secara mendadak.

Spanair menutup operasinya kelmarin sebelum ia memfailkan perintah perlindungan muflis.

"Berdepan masalah kewangan yang sukar untuk beberapa bulan akan datang, syarikat ini memutuskan untuk menutup operasinya sebagai langkah berjaga-jaga dan keselamatan," kata pihak pengurusan Spanair dalam satu kenyataan petang kelmarin.

Penerbangan terakhir Spanair mendarat pada malam kelmarin manakala pesaingnya seperti syarikat penerbangan Iberia, Vueling dan Easyjet ditugaskan mengangkut penumpang yang terkandas.

Media Sepanyol melaporkan sekurang-kurangnya 22,000 penumpang terjejas akibat penutupan tersebut.

Pihak berkuasa lapangan terbang Sepanyol, AENA pula memberitahu, sebanyak 55 penerbangan Spanair di lapangan terbang Madrid dibatalkan manakala 54 lagi penerbangan di Barcelona menerima nasib sama selain beberapa lagi penerbangan di Palma de Mallorca dan Gran Canaria.

Spanair yang ditubuhkan pada 1986 pernah cuba untuk bergabung dengan Qatar Airways bagi menyelesaikan masalah kewangannya tetapi penggabungan tersebut tidak berhasil.

Pihak berkuasa wilayah Catalan yang memiliki kepentingan dalam Spanair memberitahu, ia tidak lagi mampu untuk menampung kos operasi syarikat berkenaan berikutan pemotongan bajet oleh kerajaan selepas banyak negara Eropah dibebani krisis hutang.

Spanair memiliki 36 buah pesawat dan terbang ke 19 destinasi domestik dan 24 destinasi antarabangsa termasuk Algiers di Algeria serta Warsaw di Poland.

Pada 2008, sebuah pesawat Spanair terhempas sejurus selepas ia berlepas dari lapangan terbang Madrid dengan menyebabkan 154 orang terbunuh. - AFP

Tiada ulasan: