14 Mei 2013

TG Nik Aziz serah tugas secara rasmi kepada MB baru

4 Rejab 1434 H. [MOD] -


(Tg Nik Aziz menyerahkan tugas sebagai MB secara rasmi kepada Datuk Ahmad Yaacob hari ini)

KOTA BHARU: Bekas Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyerahkan tugas secara rasmi kepada Menteri Besar Kelantan yang baru, Datuk Ahmad Yaacob hari ini.

Penyerahan tugas itu diadakan sempena majlis jamuan perpisahan 'Jasamu Dikenang', khusus untuk Tuan Guru setelah mentadbir Kelantan hampir 23 tahun lalu.

Majlis berkenaan anjuran kerajaan negeri diadakan di Dewan Jamuan Utama Kota Darulnaim.

Semua anggota exco, pegawai kanan kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, Adun serta kakitangan kerajaan negeri hadir pada majlis tersebut.

Selepas PRU 13 lalu, Tuan Guru tidak lagi bersedia untuk meneruskan tanggungjawab itu kerana keletihan serta masaalah kesihatan.


(Bergambar kenangan selepas selesai majlis)

Ustaz Ahmad ketika berucap pada majlis itu berkata, Tuan Guru merupakan seorang pemimpin serta role model yang cukup istimewa.

Ini kerana, katanya Tuan Guru telah berjaya mencipta tugu perpaduan khususnya bersama masyarakat bukan  Islam yang sebelum ini digambarkan imej yang buruk bagi mereka.

“Dengan kehebatan Tuan Guru, beliau telah berjaya menyatu padukan semua bangsa di negara ini sehingga mereka tidak lagi menganggap Islam sebagai agama ekstrem.

“Ianya dibuktikan lagi dengan penterjemahan sikap Tuan Guru sendiri yang menyantuni masyarakat pelbagai kaum di negara ini,”ujarnya.

Beliau turut mengakui tanggungjawab memikul amanah sebagai Menteri Besar begitu besar dan bukan mudah untuk dilaksanakan.

Tegasnya, beliau memerlukan bantuan semua pihak untuk membantu rakyat melalui kepimpinan yang ada.

“Saya juga berharap ilmu dan idea dapat lagi disumbangkan oleh Tuan Guru walaupun tidak lagi sebagai menteri besar,”ujarnya.

Sementara itu, Tuan Guru mengakui hatinya begitu tenang mentadbir Kelantan kerana tidak ada  masaalah yang ditimpakan ke atasnya.

Sambungnya, hasil kerjasama kakitangan kerajaan negeri, orang politik serta rakyat Kelantan sendiri yang baik membuatkan tugasnya begitu mudah diurus.

“Cuma yang sukar nak berhadapan dengan pihak lawan kita ni, dia ni teruk sangat, bukan setakat Islam dia lawan, demokrasipun dilawannya,”ujarnya.

Sambungnya, apa yang berlaku kerana tiadanya roh Islam dalam jiwa menyebabkan peranan pemimpin sedemikian akan ikut acuan yang tidak berlandaskan Islam.


harakah/-

Tiada ulasan: