4 Rejab 1434 H. [MOD] -
MARANG: Walau pun baru seminggu bergelar 'YB' Adun Alor Limbat, Ustaz Ariffin Deraman tidak henti-henti berputar di kawasan Dun itu menemui para pengundi dan pihak lain termasuk mengunjungi pusat kesihatan.
Bukan sekadar mengucapkan 'Selamat Hari Jururawat' melalui laman sosial atau melalui kad ucapan, Ariffin yang menganggap dirinya sebagai 'budak baru belajar' menghantar sendiri kek ke pusat kesihatan yang terdapat dalam Dun Alor Limbat.
"Saya hantar sendiri kek untuk menghargai jasa-jasa 'misi' (jururawat) sempena Hari Jururawat Sedunia, kebetulan ada empat buah klinik dalam Dun Alor Limbat, saya ambil kesempatan untuk memperkenalkan diri saya, maklumlah 'saya budak baru belajar'," ujarnya.
Pusat kesihatan yang dilawati beliau adalah Pusat Kesihatan Kepong, Pusat Kesihatan Gelugor, Pusat Kesihatan Rawai dan Pusat Kesihatan Tasek.
Menurutnya, kek tanda ingatan itu telah diterima oleh ketua jururawat pusat kesihatan terbabit dan beliau sangat sukacita kerana para jururawat sudi dan gembira menerima pemberiannya sempena hari jururawat itu.
Ariffin turut menyeru semua pihak supaya menghargai kesihatan kerana ia adalah faktor yang penting dalam kehidupan dan sumber kekuatan produktiviti dan pembangunan insan.
Katanya, Rasulullah SAW adalah contoh seorang tokoh yang mengutamakan kesihatan dalam kehidupannya.
"Sebagai contoh, untuk mengelakkan obesiti yang boleh membawa pelbagai penyakit, Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak.
"Rasulullah menjaga kesihatan dengan selalu berjalan kaki ke masjid, pasar, ke medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar," ujarnya.
Pada PRU13 ini, beliau berjaya menewaskan penyandang kerusi Dun Alor Limbat daripada BN, Alias Abdullah dengan majoriti 645 undi. Alias menang pada PRU12 dengan majoriti 799 undi.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan