Bapa bawa anak mencuri

Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki yang mendukung anak melarikan dua TV dari sebuah kedai elektrik di Temerloh Mall Jumaat lalu.
TEMERLOH – Dua lelaki yang melarikan dua televisyen (TV) jenama Toshiba 40 inci dari sebuah kedai elektrik di sini pasti tidak senang duduk jika tahu tingkah laku mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis terbabit.

Kejadian berlaku di Temerloh Mall hanya disedari penyelia dan pengurus kedai terbabit kira-kira 10 minit sejurus dua suspek terbabit melarikan TV tersebut.

Berdasarkan maklumat daripada pengurus premis terbabit yang dikenali sebagai Wong, dua lelaki datang ke premisnya kira-kira jam 11.50 pagi, Jumaat lalu dan seorang daripada mereka mendukung anak.

Menurutnya, seorang daripada lelaki terbabit berpura-pura berminat hendak membeli mesin hampagas dipercayai sebagai usaha mengalih perhatian pekerja.

“Manakala lelaki yang mendukung anak mundar-mandir dengan membawa sebuah troli kosong sebelum mengambil dua TV jenama Toshiba 40 inci yang diletakkan di hadapan kedai.

“Namun tindakan lelaki terbabit ketika melarikan dua TV bernilai RM1,500 setiap satu itu tidak disedari pekerja," katanya.

Berikutan itu, Wong membuat laporan polis pada hari sama.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika premis terbabit membuat promosi jualan dan meletakkan empat TV di hadapan kedai, masing-masing dua TV 32 inci dan 40 inci.

Dua TV 40 inci itu diletakkan di bawah secara bertindih dengan dua TV 32 inci berjenama sama.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan dijalankan berdasarkan rakaman CCTV tersebut.

sinar/-