Jatuh macam nangka buruk

Pihak Imigresen menahan seorang warga Indonesia yang cedera ringan setelah terjatuh dari siling rumah ketika cuba bersembunyi dalam satu serbuan, semalam.
IPOH – Tindakan pendatang tanpa izin warga Indonesia bersembunyi di siling rumah untuk elak diberkas dalam satu serbuan penguatkuasa Imigresen terbongkar apabila terjatuh dari ketinggian empat meter di sebuah rumah di pengkalan di sini, semalam.

Dalam operasi pada jam 2 pagi itu, lelaki berusia 30-an itu terjatuh seperti nangka buruk apabila siling rumah pecah akibat tidak dapat menampung berat badannya.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Negeri, Irwan Zahid berkata, operasi dilakukan membabitkan kediaman, restoran dan kilang sekitar kawasan Batu Gajah, Simpang Pulai, Pengkalan dan Kampung Tawas.

Menurutnya, operasi khas itu membabitkan 34 anggota Imigresen dan lapan anggota Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak bagi menjejaki golongan itu yang bekerja secara haram.
 
“Lelaki warga Indonesia terbabit ditahan dan hanya mengalami kecederaan ringan dan diberkas bersama tiga rakan lain yang sedang tidur dalam rumah berkenaan.

“Sebelum itu, keempat-empat mereka mempamerkan MyKad kemudian ditahan oleh pegawai JPN selepas didapati MyKad terbabit adalah palsu. Berkemungkinan dibeli dari sindiket tertentu,” katanya.

Selain itu, Irwan berkata, pihaknya turut menahan lima individu di beberapa premis perniagaan di sekitar Simpang Pulai dan Batu Gajah setelah gagal mengemukakan dokumen sah memasuki negara ini.

“Kelima-lima mereka adalah warga Myanmar dan Indonesia dan seramai 71 warga asing diperiksa sepanjang operasi itu.

“Kesemua ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di negara ini tanpa pas sah dan ditahan di Depot Imigresen Langkap untuk siasatan lanjut,” katanya.

sinar/-