19 Ramadhan 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 19 Ogos: Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) hari ini melancarkan Tabung Mahasiswa Untuk Somalia bagi membantu rakyat Somalia yang berhadapan dengan masalah kebuluran akibat musim kemarau berpanjangan.
Menurut Presiden PMIUM, Muhammad Safwan Anang @ Talib, bantuan tersebut perlu disegerakan kerana kes kematian rakyat Somalia khususnya kanak-kanak berlaku selain memerlukan keperluan-keperluan lain termasuk bekalan air bersih, rawatan kesihatan dan tempat tinggal yang memadai.
Bagi mencapai matlamat itu, PMIUM dan PMIUPM bersama-sama beberapa kumpulan mahasiswa lagi akan turun ke kawasan-kawasan umum di ibu negara untuk mengutip derma tersebut.
"Kami akan turun ke kawasan umum antaranya kawasan sekitar hentian bas, teksi dan LRT di sekitar bandaraya Kuala Lumpur seperti di Masjid Jamek, Pasar Seni, Kuala Lumpur Sentral, Hentian Puduraya dan begitu juga di kawasan-kawasan kemudahan awam yang lain. Kawasan kampus tidak menjadi tumpuan memandangkan sekarang kebanyakan IPTA masih lagi dalam fasa cuti semester dan akan kembali ke kampus bulan September nanti," kata beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Pihaknya mensasarkan kutipan sebanyak RM10,000 dan kutipan akan terus berjalan sepanjang Ramadhan dan dijangka akan diteruskan pada bulan Syawal sehinggalah mencapai sasaran.
"Fokus utama kami di peringkat mahasiswa adalah untuk mengumpul sebanyak mungkin dana untuk disalurkan kepada rakyat Somalia. Kami sasarkan kuitipan akan mencecah RM10 000 dan kutipan ini akan terus berjalan sepanjang Ramadhan ini. Walaubagaimanapun kutipan derma Tabung Mahasiswa Untuk Somalia ini akan diteruskan juga di bulan Syawal nanti dan lainnya sehinggalah mencapai sasaran yang kita letakkan.," katanya.
Dalam pada itu, pihaknya juga menyambut baik usaha-usaha daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang sama-sama melancarkan kutipan derma di seluruh negara yang menampakkan sikap cakna dan menunjukkan betapa prihatinnya rakyat Malaysia mengenai isu sejagat ini.
Antara kumpulan yang terlibat dalam usaha ini ialah Pro-Mahasiswa UM dan UPM, Team Elit Muslim dan Briged Putra Nasional.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan terdapat lebih dua juta pelarian Somalia yang majoritinya beragama Islam kekurangan zat dan terdedah kepada penyakit berjangkit serta kematian pada Ramadan ini.
harakahdaily/-
1 ulasan:
salam ramadhan,
sye seikhlas hati ingin menderma ditabung Somalia 2012 ini. minta email pada sye detail account no dimana sye boleh membuat sumbangan insyaallah minggu depan. email sy : aarynkasyi@yahoo.com
sye zilyati emyda. selamat menunaikan ibadah puasa,amin.puasa
Catat Ulasan