07 Mac 2011

Majlis Fatwa Terengganu Teliti Bahan Pameran Mistik

02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU 7 MAC : Majlis Fatwa Negeri Terengganu (MFNT) akan memanggil penganjur pameran mistik yang dirancang untuk diadakan di sini April ini bagi membincangkan mengenai bahan pameran yang akan diperlihatkan kepada orang ramai.

Ahli Jawatankuasa MFNT Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata beliau telah memaklumkan kepada Mufti negeri Terengganu untuk mengadakan perbincangan dengan penganjur berhubung pameran itu.

"Kita akan mengadakan perbincangan dengan penganjur pameran iaitu Dynasty Event Sdn Bhd Isnin ini bagi meneliti pengisian program yang akan diadakan itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Tadarus Al-Quran TerengganuFM oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat di Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Shaikh Harun berkata, berdasarkan maklumat awal yang telah diberikan olehpihak penganjur, MFNT mendapati sebahagian besar pengisian pameran itu tidakbercanggah dengan agama Islam.

Pameran mistik yang dijadual akan diadakan di Dataran Syahbandar selama sebulan itu akan mempamerkan lebih 130 artifak seperti jenglot, jin dan anak kerak selain pengunjung turut disajikan dengan penerangan, forum dan perbincangan dengan pakar-pakar agama.

"Bagaimanapun jika ada perkara atau benda yang dipamerkan itu bercanggah dengan agama Islam dan mendatangkan keburukan kepada masyarakat kita tidak akan benarkan ia dipamerkan," kata Shaikh Harun.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berkata setakat ini JHEAT belum memberi kata putus untuk memberi kerjasama kepada Dynasty Event Sdn Bhd untuk mengadakan pameran itu.

"Dia (penganjur) baru berhasrat untuk mendapatkan kerjasama daripada kita.Sama ada kita setuju atau tidak, kita belum putuskan," katanya.

Tv Selangor/-

Tiada ulasan: