Padi diserang penyakit karak
PADANG SERAI - Lebih 100 pesawah di Kampung Sidam Kanan dekat sini
mengalami kerugian besar apabila tanaman padi musim ini tidak menjadi
setelah diserang penyakit karak tangkai sejak tiga minggu lalu.
Ekoran itu, rata-rata petani mendakwa mengalami kerugian antara
RM4,000 hingga RM7,000 bergantung kepada keluasan bendang yang mereka
usahakan.
Seorang pesawah, Kames Awang, 57, berkata, dia terkejut
apabila melihat hujung tangkai padi tidak mengeluarkan buah seperti
biasa dan bertukar menjadi warna hitam.
"Sebelum ini, tangkai padi tidak jadi hitam dan apabila diperiksa di
bahagian bawahnya, banyak hama kecil berwarna putih di situ," katanya
ketika ditemui di sini semalam.
Dia berharap agar kakitangan Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan
Peladang daerah Kulim melakukan sesuatu dan bertindak segera sebelum
keadaan menjadi lebih teruk.
Rakannya, Subhi Ahmad, 61, berkata, pihak berkaitan perlu bertindak cepat bagi memastikan penyakit tersebut tidak terus merebak.
"Apa yang mendukacitakan ialah pihak berkenaan sekadar datang melihat
sahaja tanpa memberi sebarang nasihat tentang cara-cara untuk
mengatasinya," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan