15 Januari 2013

Keputusan Majlis Syura tepati realiti semasa - Dr Dzulkefly

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan keputusan Majlis Syura berhubung dengan nama Allah baru-baru ini adalah paling tepat (arjah) untuk masa dan realiti setempat di Malaysia.

"Bagi saya keputusan Majlis Syura itu adalah paling wajar dalam isu ini," kata beliau yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor.

Menurut beliau, keputusan itu telah memperkukuhkan pandangan yang telah diberikan oleh Presiden dan juga Mursyidul Am PAS sebelum ini.

"Bagi saya, keputusan ini jame' dan mani' (sempurna dan tepat) dalam istilah fekahnya," tegas Dr Dzulkefly Ahmad yang juga AJK PAS Pusat.

Majlis Syura Ulamak PAS baru-baru ini membuat keputusan, nama Allah boleh digunakan oleh bukan Islam tetapi tidak bersetuju nama Allah menjadi terjemahan kepada perkataan God dalam Bible kerana ia tidak tepat, mengelirukan dan boleh membawa kepada silap faham.

Sebelum ini, Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataan bertulisnya berkata, orang bukan Islam boleh menggunakan nama Allah tetapi jangan disalahgunakan.

Namun ia tidak dihurai secara terperinci apa maksud jangan disalahgunakan itu.

Majlis Syura Ulamak PAS pula memutuskan dan mengulangi penegasan bahawa sesiapapun boleh menggunakan kalimah Allah secara 'hukum asal' dari nas-nas Al-Quran sendiri (Fiqh Nusus).

Bagi Dr Dzulkefly, ia berbeza dengan Mufti Umno yang mengeluarkan kenyataan, boleh menjadi kafir dan murtad jika benarkan orang bukan Islam guna nama Allah.

Ini berlawanan dengan pendirian ulama PAS yang tidak mudah-mudah menjatuhkan hukuman 'takfir' mentelahan terdapat banyak nas dari Al-Quran secara qat'iy dan jelas (soreh) ia boleh digunakan.

Utusan melaporkan, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut berkata mereka yang membenarkan penyelewengan penggunaan kalimah Allah boleh jadi murtad dan perlu bertaubat dengan segera.

Katanya, kalimah Allah adalah hak mutlak agama Islam serta mereka yang mengucap dua kalimah syahadah.

Menurut Dr Dzulkefly, ini sangat bertentangan dengan banyak nas termasuk yang diucapkan umat Islam 17 kali sehari dalam Al-Fatihah bahawa Allah ialah Rabb (Tuhan) seluruh Alam yakni makhluk beriman atau tidak, Muslim, Ahli Kitab atau pun Musyrikin dan seluruh semesta alam.

Majlis Syura dalam kenyataannya telah memperjelaskan apa yang dimaksudkan dengan 'jangan salah guna' yang dibuat oleh Presiden PAS sebelum ini.

"Majlis Syura telah secara spesifik memperkemaskan penyataan itu dengan menegaskan, nama Allah tidak boleh diterjemahkan dari perkataan God dan wajar dihalang kerana ia mengelirukan dalam suasana waqi' dan realiti hari ini.

"Ia memperjelaskan apa yang dikatakan 'jangan disalahgunakan' oleh Presiden," kata beliau.

Menurut Dr Dzulkefly, apa yang dilakukan oleh Majlis Syura, setelah jelas hukum asal perkara ini, adalah satu ijtihad berdasarkan keperluan masa dan waqi' (persekitaran) kini.

Ia pula sesuai dengan peranannya dalam ruang lingkup 'Siyasah Syariah' dan hal urus-tadbir keagamaan, mengambil pelbagai Qawaid Fiqiyyah seumpama Sadda Zari'ah (Menutup pintu-pintu kemudharatan dalam menjaga Maqasid Syara' seperti Hifzul Deen).

"Inilah siasah syariyyah yang dilaksanakan oleh Majlis Syura. Ijtihad ini bagi saya tepat, wajar dengan masa dan suasana sekarang tambahan wujud pelbagai dakwaan pelbagai kelompok sehingga menimbulkan keresahan dan pertentangan antara agama.

"Sesuai dengan sifat ijtihad itu, ia boleh berubah apabila masa dan     suasana berubah, seperti juga wujudnya Qaul Qadim (ijtihad lama) dan Qaul Jadid (ijtihad baru) dalam Mazhab Syafie," katanya.

"20 tahun lagi, setelah pencerahan minda dan kebangunan ummat dapat kita usahakan, mungkin sahaja ijtihad ini akan berubah, Allahu 'Alam," katanya.

"Yang penting bagi saya jangan sampai kalimah Allah sahaja yang kita pertahankan sementara syariat Allah kita kesampingkan," katanya berseloroh bercampur sinis.

harakah/-

Tiada ulasan: