09 Oktober 2010

Galas: Siap untuk menghadapi kemungkinan apapun

29 Syawal 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 8 Okt: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menggesa jentera PAS bagi Pilihan Raya Kecil N45 Dun Galas, menyusun strategi dan gerak kerja dengan kemas berdepan sebarang kemungkinan.

Menurutnya, strategi dan perancangan yang kemas mampu untuk menghadapi sebarang tindakan tidak bermoral parti lawan.

"Saya percaya bahawa kita semua akan dapat menghadapi tindakan tidak bermoral parti lawan nanti dengan kita menyusun strategi dan gerak kerja yang kemas.

"Kita sekali-kali tidak gentar dengan sebarang ugutan yang menjadi mainan parti lawan sejak puluhan tahun," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas suasana beberapa pilihan raya kecil sebelum ini yang menyaksikan banyak tindakan tidak bermoral berlaku sepanjang kempen.

Ianya antara lain termasuk ugutan, rasuah kepada pengundi dan provokasi keterlaluan sehingga mencetuskan suasana tegang.

Bagaimanapun menurutnya, jika PAS mengatur strategi dengan baik, dan cukup prasyaratnya, parti itu mampu mengekalkan kerusi Dun tersebut.

"Insya Allah, kita akan mempertahankan kerusi di Dun Galas nanti," katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Dun Galas adalah pada 26 Oktober manakala 4 November tarikh mengundi.

Dalam pada itu, Kerajaan Kelantan semalam mengumumkan kemungkinan akan mengisytiharkan hari mengundi pada 4 November nanti sebagai cuti peristiwa.

Ianya bagi memudahkan rakyat negeri itu, khususnya pengundi di luar kawasan keluar mengundi dengan selesa.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: