09 Oktober 2010

Nasihat dan Panduan Akad Nikah di Masjid

29 Syawal 1431 H
Oleh: Ahmad Baei Jaafar

Pilihan tempat berlangsungnya majlis akad nikah juga penting dalam menentukan keberkatan dalam kehidupan suami isteri. Kita bersyukur kerana sudah menjadi tren pada hari ini, upacara perkahwinan dilakukan di dalam masjid. Tujuannya sudah tentu untuk keberkatan.

Memang masjid tempat yang paling sesuai untuk upacara pernikahan kerana setidak-tidaknya di masjid tidak ada orang yang berniat jahat. Maka upacara akad nikah berlaku dalam keadaan tiada seorang pun yang menanggung dosa. Itulah erti keberkatan.

Tetapi dalam keghairahan mereka menggunakan kemudahan rumah Allah ini, mereka lupa beberapa pantang larang. Ada beberapa perkara yang jarang diberi perhatian. Mereka lupa dalam masjid terdapat adab sopan yang perlu dipatuhi oleh orang yang berada dalam majlis itu. Antara yang penting ialah:

1. Berpakaian menutup aurat dengan sempurna khususnya kepada wanita.

2. Niat iktikaf di Masjid.

3. Menghormati jemaah lain yang sedang beribadah di dalam masjid.

4. Mulakan dengan solat Tahiyatul Masjid dan solat sunat yang berkaitan.

5. Tidak bercampur dan bergaul terlalu bebas antara lelaki dan perempuan.

6. Jika pengantin perempuan didatangi haid dan tidak dapat hadir ke masjid, maka wali boleh menjemput jurunikah datang ke rumah terlebih dahulu untuk proses wali meminta izin dan menyerahkan wakilnya kepada jurunikah.

7. Pengantin perempuan yang haid boleh juga hadir ke masjid pada hari akad nikah tetapi dinasihati agar tidak masuk ke dalam Dewan Solat masjid.

8. Barang-barang hantaran diserahkan selepas akad nikah di rumah pengantin perempuan.

9. Jika boleh, hanya mas kahwin sahaja yang dibawa ke masjid. Majlis penyerahan mas kahwin suami kepada isteri boleh dilakukan di masjid, tetapi upacara menyarungkan cincin hendaklah dilakukan di rumah pengantin perempuan.

10. Jangan bergambar atau berposing untuk bergambar secara melampau di dalam masjid atau di sekitar kawasan masjid.

Panduan ini tidaklah susah untuk dipatuhi, namun masih terdapat lelaki atau perempuan yang sering mengabaikannya. Masih terdapat perempuan yang memakai pakaian yang tidak sesuai dengan suasana masjid. Ada yang mempamerkan wajah mekap yang mempesonakan, bahagian dada yang masih tidak ditutup sepenuhnya meskipun sudah mengenakan kain tudung.

Manakala lelaki pula ada yang memakai rantai dan gelang. Semua itu adalah haram bagi lelaki walaupun bukan dibuat daripada emas. Perhiasan perempuan itu tidak layak untuk lelaki kecuali gelang yang disahkan untuk perubatan. Kita tidak pasti sama ada mereka ini degil atau tidak tahu tentang hukum tersebut.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ada yang akad nikah kat masjid, tp solat zuhur tunggu imam siap..dia duk sajer x solat pun..mana nk dpt keberkatan..kalau masa akad nikah pun tinggal solat..