|
|
Ketua Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman berkata, kereta kebal memasuki beberapa kawasan di sungai Euphrates di bandar itu, kira-kira 450 kilometer dari ibu negara Damsyik, dan bedilan kedengaran dari sekurang-kurangnya tiga pinggir bandar.
Katanya, kira-kira 250 kereta kebal dan kenderaan perisai terlibat dalam serangan tersebut.
Jawatankuasa Koordinator Tempatan bagi Syria yang memantau protes anti-rejim memberitahu, tentera telah memasuki sembilan kawasan di bandar itu, di mana kedengaran 'bunyi letupan kuat'.
Di bandar Hula di wilayah tengah Homs, tentera Syria yang disokong oleh kereta kebal membunuh sekurang-kurangnya empat orang dalam satu operasi mematahkan tunjuk perasaan.
Semalam, Abdel Rahman memberitahu beratus-ratus kereta kebal dan kenderaan perisai ditempatkan di Deir Ezzor dan sekitar Homs di tengah Syria.
Menurutnya, beberapa penduduk turut melarikan diri dari bandar itu kerana menjangka akan berlaku serangan.
Serangan itu berlaku beberapa jam selepas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menggesa pemimpin Syria, Bashar al-Assad segera menamatkan kempen tenteranya ke atas kumpulan penentang.
"Dalam perbualan melalui telefon itu semalam, Ki-moon menyuarakan kebimbangan kuatnya ke atas peningkatan keganasan dan angka korban di negara ini sejak beberapa hari lalu," kata jurucakap PBB, Martin Nesirky lewat semalam.
Panggilan itu dibuat selepas pemimpin Amerika Syarikat, Perancis dan Jerman berjanji untuk mempertimbangkan langkah baru bagi menghukum Syria selepas melancarkan serangan berdarah kelmarin. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan