5 Rejab 1432H. [MOD] -
ASTANA (KAZAKHSTAN) 7 JUN : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata laungan terbaru oleh PAS yang kononnya hendak mewujudkan sebuah negara kebajikan bukanlah perkara baru bahkan itulah yang sudah diperjuangkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) selama ini.
Najib berkata perjuangan Umno dan BN selama ini menepati ciri-ciri negara kebajikan seperti dalam bidang pendidikan, kesihatan, subsidi makanan dan minyak yang semuanya sudah dinikmati oleh rakyat sejak sekian lama.
“Perubahan slogan tagline PAS yang bukan lagi untuk mewujudkan negara Islam tetapi negara kebajikan bukan perkara baru tetapi labelling baru saja,” katanya dipetik Bernama Online.
Najib mengadakan lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev dan akan menghadiri pula Forum Pembangunan Ekonomi Islam (WIEF) Ketujuh Rabu dan Khamis ini, di mana beliau akan turut menyampaikan ucapan bersama beberapa ketua negara lain.
Najib mengulas mengenai keputusan pemilihan pada muktamar PAS yang berakhir semalam.
Kata Najib, keputusan itu terhasil kerana pemilihan PAS banyak mengambil pertimbangan soal pilihan raya berbanding dengan untuk mencerminkan perjuangan membangunkan sebuah negara Islam atau untuk kepentingan Islam itu sendiri.
Pengerusi BN ini berkata terbukti apabila mereka telah menguar-uarkan kononnya pilihan raya akan berlangsung pada bulan Julai sehingga mengakibatkan banyak perwakilan PAS melihat soal pilihan raya dan membuat pertimbangan berdasarkan hal itu, yang menguntungkan pihak yang ingin mengambil alih kuasa dalam PAS.
Menjawab soalan lain, Najib berkata beliau telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz supaya mengadakan mesyuarat dengan semua wakil komponen BN untuk mengenal pasti calon-calon yang layak dipertimbangkan untuk biasiswa daripada kumpulan yang memperoleh keputusan rendah sedikit daripada 8A+.
“Keputusan mereka baik tetapi tak layak dapat biasiswa sama ada (bagi melanjutkan pelajaran di) luar negeri atau dalam negeri. Apabila saya balik nanti saya akan buat keputusan dalam hal ini,” katanya.
Tv Selangor/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan