5 Rejab 1432H. [MOD] -
KOTA BHARU – Kabinet pilihan raya Pas yang baru disifatkan lebih mantap dan mampu melawan UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kerana gandingan pemimpinnya yang berpengalaman luas.
Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas negeri, Abdul Fatah Haron (gambar) berkata, peluang Pas bersama Pakatan Rakyat (PR) untuk membentuk kerajaan lebih cerah sekiranya barisan Kabinet baru parti itu dibantu semua pihak.
“Gandingan Timbalan Presiden Pas yang baru (Mohamad Sabu) dengan (Presiden) Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh menguatkan jentera parti, seterusnya meningkatkan sokongan rakyat untuk mengundi Pas.
“Mohamad pernah jadi Ahli Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal sebelum dipegang Naib Presiden, Salahuddin Ayub, sehingga kini, manakala Datuk Husam Musa kini Yang Dipertua Pas Kubang Kerian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, pengalaman ketiga-tiga pemimpin itu diharapkan dapat melawan serangan Barisan Nasional (BN) kerana tidak dinafikan mereka berkelayakan dan sebab itu dipilih perwakilan.
Menurutnya, pemilihan kali ini menunjukkan beberapa calon berpengaruh dari Kelantan dipilih berbanding ketika Muktamar Pas sebelum ini di mana calon dari negeri itu kalah.
“Ketika itu, semua calon dari Kelantan kalah termasuk Husam, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Datuk Annuar Tan, Datuk Takiyudin Hasan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Muhamad Husin. Namun, kali ini Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang menang Mohd Amar seorang.
“Pemilihan dibuat menunjukkan peranan ulama masih utuh yang mana semua ahli Dewan Ulama dan ahli tertinggi Pas melibatkan golongan ulama, manakala timbalan, naib presiden dan jawatan ke bawah pula campuran golongan profesional,” katanya.
Fatah berkata, Mohamad seorang yang agresif dan diharapkan membawa perubahan supaya Pas lebih disegani.
Sinar Harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan