28 Julai 2012

Rohingya: Kerajaan digesa guna saluran diplomatik

8 Ramadhan 1433H. [MOD] -

MARANG: PAS menggesa kerajaan Malaysia agar dapat menggunakan saluran diplomatik dan pertubuhan antarabangsa bagi menekan kerajaan Myanmar yang disifatkan zalim serta kejam ke atas etnik Rohingya.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendesak agar tindakan zalim dan kejam pihak pemerintah Myanmar terhadap umat Islam Rohingya yang minoriti dihentikan segera.

“Kita mengajak supaya pihak kerajaan menggunakan saluran diplomatik dan pertubuhan antarabangsa untuk menekan kerajaan Myanmar supaya berhenti dari tindakan yang zalim dan kejam itu.

“Satu tindakan antarabangsa perlu diambil terhadap rejim Myanmar dan pihak pertubuhan antarabangsa perlu melakukan penyiasatan yang bebas dan mereka yang terlibat dengan jenayah kemanusiaan perlu dibawa ke mahkamah antarabangsa,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian selepas Ceramah Isu Semasa sempena kepulangannya dari lawatan ke Maghribi, Tunisia dan Mesir di pekarangan Masjid Rusila, semalam.

Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mengajak semua pihak agar menunjukkan rasa simpati terhadap bencana yang dialami oleh penduduk Islam Rohingya di Myanmar.

“Di atas nama kemanusiaan dan Islam, PAS mendesak semua pihak supaya menunjukkan simpati yang sesungguhnya terhadap bencana yang dialami oleh penduduk Islam di Burma, yang diperlakukan di luar perikemanusiaan.

“Tindakan yang diambil oleh rejim Burma dengan membunuh, membakar kediaman, meroboh rumah ibadat, menghalang beramal dengan agama adalah satu tindakan yang tidak bertamadun dan tidak patut berlaku di zaman sekarang,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Timbalan Pesuruhjaya (I) dan Setiausaha PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan Yahaya Ali.

harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya sangat setuju dengan saranan presiden PAS itu. Jika bukan umat Islam yang perihatin dengan masalah umat Islam di tempat lain siapa lagi?