13 Mei 2013

Zunar tubuh 'Kartunis Lawan Penipuan Pilihanraya'

3 Rejab 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR:Sekumpulan kartunis dengan diketuai oleh Zunar hari ini menubuhkan  gerakan bernama "Cartoonists Against Election Fraud (CAEF) Malaysia" atau Kartunis Lawan Penipuan Pilihanraya.



(Zunar bersama buku-buku kartun yang diterbitkan sebelum ini)


Antara kegiatan CAEF ialah menerbitkan karya-karya kartun dalam internet, buku, risalah dan animasi bagi membangkitkan kesedaran orang ramai tentang betapa besarnya penipuan dalam piliharaya yang diadakan baru-baru ini.

Ia juga dilakukan supaya rakyat bangun melawan penipuan pilihanraya. CAEF juga akan mengadakan road show mengenai isu ini.

"Kami sedia berkerjasama dengan BERSIH serta lain-lain NGO di seluruh negara," kata Zunar dalam kenyataannya.


Bagi Zunar, pilihanraya yang adil adalah faundamental dalam sesebuah negara demokrasi. 

Bagi beliau, parti pemerintah Barisan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri Najib Razak telah memenangi Pilihanraya Umum yang diadakan di Malaysia pada 5 Mei lepas dengan menggunakan kaedah penipuan. 

Penipuan jelas dikukuhkan dengan fakta bahawa parti pembangkang, iaitu Pakatan Rakyat, yang diketuai Anwar Ibrahim mendapat 50.3% undi popular berbanding 46.8% oleh Barisan Nasional.

Antara penipuan termasuk: rakyat luar negara diberi hak mengundi, penipuan pengiraan, dakwat kekal yang boleh ditanggalkan, pengundi hantu, undi awal yang meragukan, pembelian undi serta senarai daftar pemilih yang meragukan. 

Sebagai kartunis, saya berpendirian bahawa Najib dan Barisan Nasional tidak mempunyai kelayakan dari segi perundangan untuk memerintah Malaysia.

CAEF juga akan berusaha menjalin rangkaian dengan gerakan kartunis dan NGO di peringkat antarabangsa di seluruh dunia atas tujuan yang sama.

Matlamat CAEF adalah memberi tekanan kepada pihak berkuasa supaya tidak mengiktiraf keputusan Pilihanraya Umum ke-13 dan sebuah pilihanraya diadakan semula dengan pemantauan oleh badan berwibawa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. 

"Jika itu tidak dilakukan, kami tidak akan mengktiraf Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia," katanya.

CAEF akan bergerak atas wadah Kumpulan Kartunis Independen (KKI).

Majlis pelancaran CAEF akan diadakan di Amcorp Mall (menghadap tasik) pada Sabtu 18 Mei depan dari 11 pagi hingga 6 petang. 

Ia akan dirasmi oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai  Nurul Izzah Anwar antara jam 4 - 6 petang. 

Selain pelancaran, turut akan diadakan ialah pameran kartun mini oleh ahli-ahi KKI, karikatur, sesi autograf dan penjualan buku.

Antara ahli KKI ialah Nor Azlin Ngah (Jonos), Johnny Ong, Amir Hakim (Ahyat), Mohd Afendi Ramli (Ronasina), Haili, Azmie Taha, Lawrence Jeyaraj (Loren), Oly, Abdullah Jones, Amier Hamzah Hashim (Ibnukaduk), Azhar Saad (Art), Azlan Isa (Orang2), Sham Saimun Ezil (Along), Megat, Firdaus dan Baba.

Zunar, Katua CAEF, adalah kartunis politik Malaysia yang merupakan pemenang anugerah Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial 2011 oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa.


harakahdaily/-

Tiada ulasan: