13 Mei 2013

Bangladesh terus dilanda bencana industri

Bangladesh terus dilanda bencana industri3 Rejab 1434 H. [MOD] -


Kilang Tung Hai yang terbakar minggu lalu dipercayai angkara khianat.
Bangladesh terus dilanda bencana industri
Kebanyakan ahli keluarga mangsa berada di lokasi kejadian berasa hiba setiap kali mangsa dikeluarkan dari sisa runtuhan.
RESHMA BEGUM
RESHMA BEGUM
BANGLADESH terus dilanda bencana industri lewat Rabu lalu, selepas lapan orang maut dalam insiden kebakaran di kilang pakaian di Dhaka dalam tempoh dua minggu.
Mangsa terkorban dalam kejadian itu termasuk pengarah urusan dan pemilik Kilang Tung Hai tersebut.
Pihak berkuasa memberitahu, punca kebakaran masih belum diketahui.

Siasatan awal mendapati, insiden berlaku di aras tiga bangunan setinggi 11 tingkat itu mungkin berpunca daripada perbuatan khianat.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan penutupan 18 kilang pakaian di negara tersebut, beberapa hari selepas mereka berjanji untuk mempertimbangkan tahap keselamatan yang lebih tinggi susulan daripada perbincangan bersama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Kesemua premis tersebut hanya dibenarkan buka semula selepas mereka membuat penambahbaikan struktur dan keselamatan,” kata pegawai di Kementerian Buruh.

Kebakaran adalah masalah utama di 4,500 kilang tekstil di Bangladesh berikutan kebanyakan syarikat beroperasi di bangunan usang dengan sistem pendawaian yang tidak mengikut piawaian.

Menurut kumpulan Clean Clothes Campaign berpusat di Amsterdam, kira-kira 700 orang terbunuh dalam kebakaran kilang di Bangladesh sejak 2006.

Peruncit Barat hanya tahu mengkritik premis terlibat kerana gagal memastikan keselamatan pekerja tetapi jenama utama terus membuat pesanan dan tidak mengendahkan masalah yang dihadapi buruh di Bangladesh.

Terpaksa potong tangan
Usaha seorang pekerja kilang berhampiran Plaza Rana, Didar Hussain menyelamatkan 34 mangsa di lokasi kejadian termasuk, Aanna Akhtar.
Aanna menganggap dirinya bertuah walaupun terpaksa kehilangan pergelangan tangannya.

“Saya mula bekerja di tingkat enam di bahagian pembuatan poket seluar kira-kira tiga minggu lalu.

Kebanyakan rakan sekerja berjaya menyelamatkan diri. Saya hanya mampu menangis sebelum dibawa keluar pada hari kedua selepas insiden itu,” katanya.

Hussain yang mendengar tangisan gadis berumur awal 20-an itu cuba menenangkannya.

“Saya tidak mempunyai pilihan, selain terpaksa memotong tangannya yang tersepit di bawah sisa runtuhan. Ia dilakukan atas persetujuan gadis tersebut,” jelasnya.

Difahamkan, usaha itu mengambil masa selama lima jam dan mangsa kini dirawat unit rawatan rapi dan dilaporkan semakin sembuh.
Terperangkap selama 17 hari

Seorang wanita ditemui masih hidup di bawah runtuhan selepas 17 hari insiden runtuhan tersebut.
Reshma Begum memberitahu, usahanya mengetuk batang paip berjaya menarik perhatian pasukan penyelamat.

“Jeritan saya tidak didengari sesiapa. Saya hampir berputus asa,” katanya yang bekerja di tingkat dua Plaza Rana.

Reshma menyatakan dia bergantung hidup dengan memakan makanan kering selama 15 hari selepas terperangkap di bawah sisa runtuhan berhampiran surau.

Mejar Jeneral, Chowdhury Hasan Suhrawardy memaklumkan wanita itu juga terpaksa memotong rambutnya yang tersangkut dengan objek tajam.

Usaha menyelamat Reshma turut disiarkan secara langsung di seluruh negara.

sinar/-

Tiada ulasan: