31 Julai 2010

Seminar Ekonomi dedah kepincangan BN, esok

18 Syaaban 1431 H
Oleh: Khairul Azlam Mohmad

KUALA TERENGGANU, 29 Julai: DAP Cawangan Bandar Kuala Terengganu akan mengadakan Seminar Ekonomi di Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu, Jalan Batas Baru, di sini, 30 Julai (esok).

Pengerusinya, Ng Chai Hing berkata, seminar yang bermula jam 10 pagi hingga 1 tengah hari itu bertujuan mendedahkan kepincangan kerajaan Barisan Nasional (BN) serta maklumat kepada rakyat di negeri ini.

Katanya, ahli panel terdiri daripada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dan Serdang, Tony Pua dan Teo Nie Ching (gambar), Encik Rafizi Ramli (Pegawai Khas Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar.

Katanya, program tersebut diadakan secara terbuka kepada orang ramai mengenai keadaan sebenar ekonomi di Malaysia hari ini.

Kemerosotan pelaburan asing langsung (FDI) bagi tahun 2009 lalu bukti ‘kelemahan’ ekonomi negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah, kemerosotan tersebut mencecah 81 peratus atau RM4.43 bilion sahaja pada tahun 2009 berbanding RM23.47 bilion pada tahun 2008 sebelumnya.

Katanya, kerajaan BN cuba menyembunyi sesuatu daripada pengetahuan rakyat mengenai keadaan ekonomi negara.

“Kita dapat tahu kemasukan pelaburan asing langsung ke Malaysia telah merosot begitu banyak tahun lalu dan ini meletakkan negara dalam bahaya.

“FDI pada tahun 2009 merosot teruk dari tahun 2008 mungkin kerana dasar dan amalan rasuah di kalangan pemimpin kerajaan kita,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Menurutnya, amalan rasuah dan birokrasi masih berlaku dan tidak ada perubahan sejak zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: