02 Disember 2011

Ikhwanul Muslimin sedia galas cabaran

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KAHERAH - Selepas menunggu selama 83 tahun, Parti Ikhwanul Muslimin akhirnya semakin hampir mendapat peluang yang ditunggu-tunggu untuk mentadbir Mesir selepas dilaporkan mendahului pilihan raya fasa pertama sejurus pengiraan undi tamat, semalam.

Parti berlandaskan Islam itu berharap mampu mengemudi perubahan politik Mesir selepas revolusi Arab, dan berikrar akan meningkatkan kembali ekonomi negara dengan 80 juta penduduk itu yang terjejas akibat pergolakan politik, awal tahun ini.

Ikhwanul Muslimin, gerakan Islam tertua di Mesir dijangka mendapat kedudu-kan kukuh di Parlimen dan berharap dapat membentuk kerajaan campuran sejurus pilihan raya tiga fasa itu berakhir, Januari depan.

Kejayaan parti itu mendahului pilihan raya menandakan perubahan besar kerana pemerintahan bekas Presiden Hosni Mubarak dan pemimpin sekular sebelum ini menindas dan melarang Ikhwanul Muslimin menyertai dunia politik.

Diketuai golongan profesional seperti doktor, jurutera dan guru, Ikhwanul Muslimin membawa slogan ‘Islam adalah penyelesaiannya’ dan turut mengutamakan demokrasi, keadilan sosial serta kebebasan undang-undang.

Namun perjalanan politik parti itu dijangka berhadapan cabaran besar apabila majlis tentera Mesir dilihat mahu mempengaruhi pemilihan Kabinet dan cuba meletakkan pemimpin pilihan mereka.

Populariti Parti Ikhwanul Muslimin juga menghancurkan impian kuasa Barat yang sejak dahulu kerap menjadikan pemimpin Arab sebagai boneka demi memenuhi kepentingan mereka.

Selain Mesir, parti berlandaskan Islam juga memenangi pilihan raya terbaru di Tunisia dan Maghribi.

SINAR HARIAN/-

1 ulasan:

Anda Sendiri Fikir berkata...

Alhamdulillah diatas kemenangan pari Islam tertua didunia yang menurunkan bala tenteranya (para Malaikat) dan sesungguhnya Allah s.w.t. akan menolong kepada hambaNya yang berjuang atas nama Islam.