02 Disember 2011

Elak kecurian motosikal

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA BERANG – Kira-kira RM30,000 diperuntukkan untuk membina parkir motosikal berkunci bermula 2012 di dua bandar berasingan iaitu Bandar Kuala Berang dan juga Bandar Ajil.

Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), Talaha Ali berkata, parkir yang bakal dilaksanakan tahun hadapan itu bertujuan mengurangkan masalah kecurian motosikal di kedua-dua bandar berkenaan yang terlalu berisiko.

“Ini adalah langkah atau usaha kerajaan yang dapat dilaksanakan bagi memberi keselesaan kepada rakyat terutama mereka yang tinggal di daerah Hulu Terengganu.

“Jika sebelum ini kita melihat banyak parkir motosikal yang tiada sistem keselamatan sistematik, tetapi bermula tahun hadapan, pengguna motosikal tidak lagi perlu risau keselamatan kenderaan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kawasan yang menjadi tumpuan dan bakal disediakan parkir motosikal berkunci ialah di kawasan perniagaan, perumahan dan juga lokasi tumpuan orang ramai.

Menurutnya, ia adalah sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan kes kecurian motosikal kerana masalah itu juga dilihat begitu tinggi berlaku di daerah ini.

“Begitu juga dengan hasrat kerajaan yang mahu melihat penduduknya hidup dalam keadaan selamat dan selesa,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: