6 Muharram 1433H. [MOD] -
KOTA TINGGI - Seorang penjual kopi ditemui mati di dalam kereta jenis Proton Wira Aeroback dipercayai akibat diserang sakit jantung pagi semalam.
Kakak mangsa, Zaleha Ramlan, 49, berkata, dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, Lokman Ramlan, 43, yang tinggal di Taman Kota Jaya, di sini turut membawa anak perempuannya, Dinah Alisa berusia enam tahun untuk mengedar paket serbuk kopi campuran kepada pelanggan tetapnya di kawasan komersial taman perumahan itu.
Menurut ahli keluarganya, sebelum kejadian, mangsa bersama anaknya bersarapan di sebuah kedai di situ dan sempat membelikan anaknya aiskrim.
Namun, setibanya di Jalan Pedada di taman itu, mangsa dipercayai diserang sakit jantung lalu memperlahankan keretanya ke tepi jalan deretan kedai di situ sebelum kereta tersebut bergerak perlahan tanpa kawalan sejauh lima meter lalu terhenti apabila tersangkut pada bahagian tepi sebuah lori yang diparkir secara melintang di situ.
Orang ramai yang terkejut dengan kejadian itu segera menghubungi Hospital Kota Tinggi sebelum menghubungi waris mangsa melalui telefon bimbitnya.
Isteri mangsa, Yusniza Yusof, 37, yang bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di sini serta ibu mangsa, Dinah Abu Bakar, 68, turut kelihatan di tempat kejadian selepas menerima maklumat tentang kejadian yang menimpa Lokman.
Sementara itu, Zaleha ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi berkata, adiknya itu (Lokman) pernah bekerja di sebuah bank sebelum berhenti setahun lalu untuk berniaga.
“Sebelum ini, arwah tidak pernah mengadu sakit dan dia seorang yang gigih bekerja.
“Apa yang menyedihkan pada enam tahun lalu, bapa saya, Ramlan Samad, seorang pesara guru juga meninggal dunia secara mengejut ketika sedang berada di dusun buah-buahannya bersama ibu saya. Kini sudah dua kejadian mati mengejut berlaku dalam kalangan ahli keluarga kami, namun begitu kami terimanya sebagai takdir,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik yang mengesahkan kejadian berkata, hasil laporan bedah siasat mengesahkan sebab kematian Lokman adalah akibat serangan jantung.
“Jenazah mangsa telah dituntut ahli keluarganya untuk dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Bukit Lintang, Lukut di sini untuk dikebumikan petang ini (semalam),” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan