02 Disember 2011

Dua lelaki dituduh lakukan rompakan berkumpulan

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Dua lelaki yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini tidak mengaku bersalah melakukan rompakan diarahkan membayar ikat jamin sebanyak RM16,000 setiap seorang bagi dua pertuduhan yang dilakukan.

Mohd Rahmad Fadzil, 23 dari Felda Sungai Panching Utara dan Fairul Zalizam Razali, 25, dari Kampung Baru tanah Putih, Pekan dituduh melakukan rompakan berkumpulan membabitkan kerugian sebanyak RM100,000.

Kedua-dua lelaki yang tidak bekerja itu dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 395 kanun keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Rahmad dan Fairul Zalizam dituduh melakukan rompakan itu pada 31 Oktober kira-kira jam 6.45 pagi di sebuah rumah di Taman Mewah, Seri Bayu, Berserah dengan merampas kenderaan jenis Toyota Harrier, wang tunai RM1,700 dan USD 1,500, empat telefon bimbit, tiga kamera, dua komputer riba, satu jam tangan jenama bonia, satu GPS, pemain MP3 dan sekeping kad kuasa PDRM milih Hanafi Daud.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka dituduh melakukan perbuatan sama dengan merompak harta milik Zaliha Abdul Rahman iaitu seutas gelang tangan emas, dua bentuk cincin emas, seutas jam tangan dan sebuah telefon bimbit yang membabitkan kerugian sebanyak RM12,000.

Bagi kesalahan itu, mereka juga boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 395 kanun keseksaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa raya , Nor Svetlana Datuk Mohd Nor Nordin dan Hakim Mahkamah Sesyen 2, Kuantan, Fathiyah Idris menetapkan 5 January 2012 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sinar Harian

Tiada ulasan: