02 Disember 2011

Guna emel, SMS keluarkan wang

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KAMUNTING – Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan taktik penipuan licik pengeluaran wang di bank oleh pihak tidak diketahui.

Penasihat Pengguna, Dr Billy Toh berkata, dia juga menjadi seorang mangsa penipuan berkenaan bagaimanapun, tindakan cepat yang dilakukannya berjaya menyelamatkan wangnya.

Menurutnya, satu emel diterima daripada bank pada 27 November lalu mengatakan ‘pac’ diperlukan untuk setiap transaksi ketika dia berada di Langkawi.

“Saya diminta untuk menge­mas kini di tempat ‘tekan sini untuk teruskan’ dan berbuat demikian mengikut arahan tersebut pada 28 November lalu.

“Tujuh minit kemudian, saya menerima mesej pesanan ringkas (SMS) menyatakan RM3,000 dikeluarkan da­ri akaun untuk diberikan ke­pada individu tidak dikenali,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, dia terus menghubungi bank berkenaan bagi melaporkan penipuan tersebut tetapi panggilan tidak berjawab kerana talian sibuk.

Katanya, selepas itu, satu lagi SMS diterima dan kali ini sebanyak RM5,000 dikeluarkan untuk diberikan kepada orang yang sama.

Billy berkata, dia berjaya bercakap dengan seorang pegawai bank dan memaklumkan mengenai perkara itu seterusnya pegawai tersebut membantu menyekat akaunnya.

“Saya ke cawangan bank berkenaan di Kamunting pada hari yang berikutnya untuk mengetahui perkembangan.


“Saya bersyukur kerana menurut pengurus bank, wang dalam akaun saya masih selamat kerana tindakan cepat saya dan pihak bank,” katanya.

Beliau berharap, orang ramai yang menerima emel atau SMS yang mencurigakan terus ke bank bagi tindakan lanjut.

Sinar Harian

Tiada ulasan: