27 Mac 2012

Sindiket edar dadah lumpuh

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Polis negeri ini berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah sekitar bandar raya ini selepas menahan tiga lelaki dan dua wanita warga tempatan dalam tiga serbuan berasingan, Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Asisten Komisioner Kamarudin Abd Aziz berkata, polis menahan seorang jurujual kereta yang berumur 36 tahun dalam serbuan pertama di Kampung Datuk Sulaiman Menteri, di sini.

Menurutnya, sebanyak 920 gram dadah jenis ganja bernilai RM2,200 berjaya dirampas hasil serbuan kira-kira jam 4.15 petang oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri.

“Lelaki yang sudah berumah tangga itu didapati positif dadah dan hasil semakan mempunyai satu rekod penyalahgunaan dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, semalam.

Kamarudin berkata, dalam serbuan kedua pada hari yang sama kira-kira jam 6 petang di Kampung Melayu Pandan, di sini seorang lelaki berumur 31 tahun berjaya ditahan.

“Kita turut merampas sebanyak 1.98 kilogram dadah jenis ganja bernilai RM4,750 bersama lelaki bujang yang bekerja sebagai mekanik motosikal berkenaan.

“Hasil semakan, lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Katanya, seorang lelaki bersama dua wanita berjaya ditahan di kawasan yang sama setengah jam kemudian dan turut merampas dadah jenis ganja bernilai RM1,200.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut merampas sejumlah wang tunai sebanyak RM3,100 dan sebuah komputer riba.

“Lelaki yang berumur 25 tahun itu bekerja sebagai penghantar surat, manakala dua wanita yang ditahan berumur 21 tahun adalah tunangnya dan ibu wanita berkenaan yang berumur 50 tahun.

“Hasil semakan yang dibuat, ketiga-tiga yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Kamarudin berkata, sindiket pengedaran dadah itu dipercayai aktif sekitar bandar raya ini sejak setahun lepas.

Katanya, kesemua yang ditahan kini direman sehingga Khamis depan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: