27 Mac 2012

Remaja dakwa dibelasah penjual tiket

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PENAGA - “Punah harapan saya untuk membantu menyara ibu dan adik selepas insiden itu kerana bukan sahaja kehilangan kerja malah turut mengalami kecederaan parah,” kata Muhamad Fahami Abdul Hamid, 20, yang mendakwa dibelasah gara-gara salah faham seminggu lalu.

Muhamad Fahami, berkata, kejadian itu berlaku pada malam 18 Mac lalu ketika dia bersama rakan baiknya, Muhamad Zulhelmi Fuad, 23, berada di Perhentian Sementara Penang Sentral di sini untuk menaiki bas menghadiri temu duga di Kuala Lumpur.

“Sebaik sampai di terminal itu dari rumah di Taman Desa Kuala Muda, kami bergegas ke kaunter yang menjual tiket untuk menaiki bas yang dijangka bergerak pada jam 12 tengah malam.

“Bagaimanapun kami tidak dibenarkan berbuat demikian kerana tiket yang dibeli sejak seminggu lalu itu didapati tercatat kesilapan masa iaitu jam 12 tengah hari dan bukannya sepertimana yang diminta,” katanya.

Menurutnya, dia kemudiannya meminta penjual tiket itu meminda masa sebenar perjalanan sambil memaklumkan perlu menghadiri temu duga keesokan hari.

Namun dakwanya, tiba-tiba kerani wanita di kaunter itu meninggikan suara, melenting dan memarahi mereka berdua sambil menuduh cuba menipu menyebabkan beberapa lelaki yang dikenali sebagai penjual tiket di terminal itu meluru ke arahnya.

“Saya dan rakan cuba memaklumkan kepada mereka berkaitan kesilapan masa pada tiket berkenaan untuk membolehkan kami menaiki bas kerana perlu berada di Kuala Lumpur keesokan harinya,” katanya.

Muhamad Fahami berkata, penjelasan mereka tidak diterima sebaliknya dia terus dipukul seorang lelaki dengan sebatang cota membuatkan dia dan Mohd Zulhemi terpaksa lari bagi menyelamatkan diri selepas mendapati lebih ramai lelaki datang dipercayai mahu memukulnya.

“Saya terpaksa lari ke arah deretan kedai makan bagi menyelamatkan diri manakala Mohd Zulhelmike arah jeti.

"Saya juga terdengar jeritan lelaki yang mengejar menyuruh orang ramai yang berada di kawasan itu menangkap saya dengan alasan saya meragut beg penumpang di terminal berkenaan,” katanya.

Menurutnya, disebabkan terkepung dia dibelasah orang ramai termasuk ditumbuk, ditendang dan dipukul menggunakan kayu walaupun merayu dilepaskan sambil menceritakan apa sebenar yang berlaku.

Muhamad Fahami bernasib baik apabila seorang lelaki berjaya menghalang dia dipukul lebih teruk sebelum membawanya ke Balai Polis Butterworth membuat laporan.

Dia kemudian dihantar ke Hospital Seberang Jaya dan hasil pemeriksaan perubatan kemudiannya dia disahkan mengalami patah tulang di bawah kelopak mata kiri dan mengalami pendarahan dalam mata.

Anak kepada ibu tunggal, Faridah Ismail, 55, itu berkata, dia malu kerana dituduh sebagai peragut sedangkan ia hanya melibatkan salah faham sahaja.

“Saya bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas penjual tiket di kaunter bas berkenaan, beberapa lelaki penjual tiket yang bertindak memukul saya tanpa usul periksa hingga mencemar nama baik saya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, sisten Komisioner Zulkifli Alias yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan sebaik laporan diterima pihaknya berjaya menangkap empat lelaki yang dipercayai terlibat memukul Muhamad Fahami dalam kejadian itu.

Menurutnya, semua mereka kini berada dalam tahanan reman untuk disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja melakukan cedera parah.

Sinar Harian

Tiada ulasan: