16 Julai 2012

Paycomm gagal bayar RM2.9 juta kepada pekerja

26 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Paycomm gagal membayar sebanyak RM2.9 juta baki gaji bulan Jun dan Julai 2010 dan faedah penamatan kerja disebabkan kedudukan syarikat sedang dalam proses penggulungan.

Arahan bayar itu dikeluarkan selepas tuntutan pekerja dibicarakan dan perintah telah dikeluarkan supaya Paycomm membayarnya, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk S Subramanian (gambar) dalam satu kenyataannya.

Menurut kenyataan itu lagi, daripada 246 kes yang telah difailkan di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967, sebanyak 122 kes masih dalam kendalian Mahkamah Perusahaan.

Kenyataan ini dikeluarkan ekoran piket yang dibuat bekas pekerja Paycomm baru-baru ini.

Perhimpunan pada 12 Julai 2012 oleh seramai 50 bekas pekerja Paycomm Network Sdn Bhd (Paycomm) di hadapan Menara Dato’ Onn Putra World Trade Centre turut disertai oleh Timbalan Presiden, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Puan M. Sarasvathy.

Ia adalah berikutan penutupan syarikat Paycomm pada bulan November 2010 dan kegagalan majikan untuk membayar baki gaji bulan Jun, Julai 2010 serta tanpa diberi apa-apa faedah penamatan kerja.

Turutan daripada itu, pada bulan Oktober 2010 hingga Ogos 2011, seramai 238 bekas pekerja syarikat ini telah memfailkan tuntutan sebanyak RM4.9 juta untuk baki gaji untuk bulan Jun dan Julai 2010 serta bayaran faedah penamatan kerja di 21 Pejabat Tenaga Kerja di seluruh negara.

Manakala seramai 246 bekas pekerja Paycomm telah memilih untuk memfailkan kes mereka di bawah seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 untuk dipulihkan pekerjaan.

"Semua tuntutan tersebut telah dibicarakan dan perintah telah dikeluarkan supaya Paycomm membayar sebanyak RM2.9 juta untuk baki gaji bulan Jun dan Julai 2010 dan faedah penamatan kerja.

"Namun begitu Paycomm gagal membuat pembayaran disebabkan kedudukan syarikat sedang dalam proses penggulungan," kata kenyataan itu.

Jabatan Tenaga Kerja juga telah memfailkan 18 kes pendakwaan di mahkamah sivil di seluruh negara.

Pada masa yang sama Jabatan telah mengkaji kes ini untuk diambil tindakan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Pelbagai inisiatif telah dan cuba diambil oleh Kementerian dalam memastikan pekerja mendapat pembelaan sewajarnya, katanya.

Pada 22 Mac 2012, bekas pekerja Paycomm yang dipimpin oleh pemimpin Parti Sosialis Malaysia, iaitu Ahli Parlimen Sungai Siput telah berhimpun di hadapan Bangunan Kementerian Sumber Manusia untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Sumber Manusia bagi mendapatkan penglibatan Menteri Sumber Manusia dalam menyelesaikan tuntutan mereka.

Pihak kepimpinan PSM menyatakan bahawa mereka tidak mengharapkan penyelesaian melalui undang-undang, tetapi berharap agar Menteri Sumber Manusia dapat mempertimbangkan untuk campurtangan sekiranya terdapat kemungkinan penglibatan GLC (Government Link Company) sebagai pemegang syer.

Pada 2 April 2012, Menteri Sumber Manusia telah berjumpa dengan wakil pekerja Paycomm yang turut disertai oleh Timbalan Presiden PSM dan telah membincangkan berkenaan tuntutan terhadap Paycomm yang didakwa keseluruhannya berjumlah RM 49 juta melibatkan seramai 549 orang di seluruh negara.

Menteri Sumber Manusia telah menyatakan bahawa sekiranya dakwaan bahawa pemegang syer tunggal Paycomm juga terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah berasas, maka beliau akan cuba berbincang dengan pihak-pihak yang berkaitan bergantung kepada siasatan lanjut dan hasil perbincangan dengan semua agensi terlibat termasuk Kementerian Kewangan.

Pihak Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja telah mengambil pelbagai inisiatif samada melalui saluran undang-undang atau inisiatif konsultansi untuk menyelesaikan tuntutan ini.

Namun perkara ini telah dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan politik dan memberi gambaran bahawa Kerajaan khususnya Menteri Sumber Manusia tidak mengambil apa-apa tindakan dalam menyelesaikan masalah pekerja.

Kementerian Sumber Manusia berharap semua bekas pekerja Paycomm dapat memahami kedudukan sebenar kes ini dan tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.

Pada masa yang sama, sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, mereka bolehlah menghubungi Jabatan Tenaga Kerja di talian 03-88865054, kata kenyataan itu.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: