26 Syaaban 1433H. [MOD] -
MIRI: Peraturan baru Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk para peniaga di gerai Bazar Ramadan pada tahun ini sangat menyusahkan dan membebankan terutama sekali kepada para peniaga kecil yang kurang berkemampuan.
Kami menerima banyak aduan dari pengusaha atau peniaga kecil tentang bayaran sewa gerai Bazar Ramadan sebanyak RM300 yang dikenakan untuk setiap gerai adalah terlalu mahal dan mereka mahu dikurangkan dengan harga yang berpatutan.
Encik Kasim seorang penjual 'Burger' memberitahu pihak kami tentang masalah peraturan baru yang dikenakan kepada setiap peniaga yang hendak menjual di gerai Bazar Ramadhan mesti melakukan pemeriksaan kesihatan termasuk suntikan kesihatan untuk membolehkan mereka berniaga disitu.
Menurutnya, Kos suntikan termasuk pemeriksaan kesihatan adalah terlalu tinggi boleh mencecah ratusan ringgit dan belum lagi terpaksa bayar sewa sebanyak RM300 untuk tapak gerai dan juga lain-lain kos, ini sudah tentu membebankan mereka yang kurang berkemampuan.
Bulan ramadhan adalah bulan untuk menambah rezeki untuk para peniaga kecil Melayu/Bumiputera untuk menampung Kos serta belanja untuk persiapan Hari Raya Aidil Fitri. Dengan pendapatan tambahan ini sekurang-kurangnya dapat menampung Kos pembelanjaan seharian mereka.
Sepatutnya pihak pemerintah atau pihak yang berkuasa mengambil berat masalah rakyat yang berpendapatan rendah, bukannya dengan menambahkan beban mereka dengan Kos tambahan yang melampau seperti mengenakan syarat-syarat ketat untuk berniaga.
Memang niat pihak berkuasa untuk menjaga kebersihan dan kesihatan untuk para peniaga dan pengguna adalah baik tetapi tidak semestinya mengenakan caj yang melampau untuk menekan para peniaga kecil Melayu/Bumiputera yang kurang berkemampuan.
Kita mendesak agar pihak kerajaan atau pihak MBM menarik balik peraturan yang membebankan para peniaga kecil tersebut. Kalau hendak laksanakan juga peraturan atau caj bayaran tersebut, pihak yang berkenaan sepatutnya mempertimbangkan atau kurangkan caj agar para peniaga kecil dapat sama-sama meneruskan perniagaan mereka pada bulan ramadhan tahun ini.
Kerajaan sepatutnya meringankan bebanan rakyat bukannya menambahkan bebanan keatas peniaga dan juga pengguna semata-mata untuk menampung Kos perbelanjaan Negara. Kita harap pihak kerajaan mengambil perhatian serius terhadap masalah dan aduan rakyat ini sebelum ramadhan dengan mengambil tindakan sewajarnya. Pihak berkuasa seharusnya adil kepada semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.
Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan