14 Mei 2012

Rombongan PAS ke Sandakan buka surau yang dijanjikan

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SANDAKAN: Lapan anggota Lajnah Penerangan PAS dengan dipimpin oleh Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kini berada di Sandakan bagi melihat sendiri projek pembinaan surau di sebuah pulau dekat sini.
Mereka dijangka ke pulau itu petang ini bagi menyaksikan pembinaan Surau Pulau Shanghai yang dibina hasil sumbangan orang ramai.

(Gambar: Para peserta bergambar di hadapan hotel penginapan sebelum ke Pulau Shanghai.)

Pembinaan surau ini dijanjikan oleh rombongan beliau kepada penduduk tempatan ketika melawat pulau itu hujung Disember tahun lalu.

Selepas lima bulan mereka datang kembali dan melihat bangunan yang dihasilkan dari usaha mereka mengutip sumbangan untuk pembinaan surau ini.

"Kita berjaya pungut lebih RM70,000. Sehingga kini kita dah serahkan RM50,000 kepada Tuan Haji Hamzah Abdullah (Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah) untuk menguruskan pembinaan ini," kata Tuan Ibrahim dalam mesyuarat lajnah itu semalam di Kuala Lumpur.

Pulau Shanghai terletak setengah jam perjalanan dengan bot laju dari perlabuhan Sandakan.

Beribu umat Islam mendiami pulau itu tetapi tidak ada satu pun surau apatah lagi masjid di pulau itu.

Mereka terpaksa naik bot ke pulau lain untuk menunaikan solat Jumaat dan jamaah.

Tuan Ibrahim pernah berkata, "Kita pacak tiang untuk pembinaan pulau ini dengan harapan kerajaan negeri pimpinan Umno bertindak untuk membinannya di pulau ini."

Sekarang PAS sebagai sebuah parti politik Islam berjaya membinanya dengan bantuan orang ramai.

Selepas melihat kejayaan ini, banyak kawasan lain juga memohon PAS untuk membantu mereka membina surau untuk kawasan mereka.

"Hari ini kita akan merasmikan penggunaannya, selepas ini akan membuat pelbagai program di surau ini termasuk di hari-hari kebesaran Islam," kata Tuan Ibrahim kepada Harakahdaily.

Harakah Daily

Tiada ulasan: