14 Oktober 2021

Pesona Pulau Tuba

 CHALET Terapung Bestuba yang berwarna-warni menjadi tumpuan pelancong.

CHALET Terapung Bestuba yang berwarna-warni menjadi tumpuan pelancong.

hmetro/-

PULAU Tuba adalah sebuah pulau yang kaya dengan flora dan fauna serta keindahan alam semula jadi.

Destinasi ekopelancongan menarik itu terletak kira-kira lima kilometer di barat daya dari Jeti Kuah, Pulau Langkawi, Kedah.

Keindahan pulau kecil itu dikatakan berpotensi menjadi destinasi pelancongan utama, namun kurangnya pengetahuan dan kemahiran komuniti untuk mempromosikan pulau istimewa itu sebagai tarikan.

Menyedari keperluan itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil inisiatif menjalankan penyelidikan supaya variasi segmen ekopelancongan dan kembara pulau berkenaan dapat dipacu.

Ia sekali gus dapat membantu merancakkan lagi aktiviti sosioekonomi penduduk Pulau Tuba menerusi Projek Pesona Tuba.

Menurut Naib Canselor UniMAP, Profesor Ts Dr Zaliman Sauli, Projek Pesona Tuba itu mengandungi dua sub projek iaitu Projek Digital Language E-Manual dan Projek Keusahawanan Digital.

Kata beliau, ia dijalankan 15 penyelidik universiti terbabit melalui Bahagian Kajian Institusi Raja dan Komuniti, Pusat Keusahawanan, Jaringan Industri dan Masyarakat (CEICnet) dan Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan (FSGM).

"Projek Digital Language E-Manual bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris menerusi penggunaan teknologi (Tuba Smart Application) bagi membolehkan proses komunikasi antara pemandu pelancong dengan pelancong menjadi lebih efektif.

"Manakala Projek Keusahawanan Digital pula bertujuan memberi pendedahan mengenai pengetahuan dan kemahiran penggunaan teknik pemasaran digital melalui platform media sosial," katanya.

Menurut Dr Zaliman, projek yang dilaksanakan dalam tempoh satu tahun sejak Mac tahun lalu itu berjaya menubuhkan Persatuan Pelancongan Pulau Tuba (Tita) yang bertindak sebagai sebuah persatuan berdaftar yang diluluskan penubuhannya pada 28 Julai lalu.

PULAU Tuba memiliki keistimewaan tersendiri untuk dijadikan destinasi pelancongan utama.
PULAU Tuba memiliki keistimewaan tersendiri untuk dijadikan destinasi pelancongan utama.

Katanya, menerusi Tita, penyelidik universiti terbabit menyediakan pakej pelancongan sebagai asas menggerakkan persatuan di samping membangunkan beberapa platform promosi seperti laman web, Facebook, Instagram dan YouTube bagi mempromosi Pulau Tuba.

"Inovasi dalam membangunkan Tuba Smart Application sebagai platform komunikasi yang boleh dipasang dalam telefon pintar memudahkan komunikasi antara pemandu pelancong dan pelancong terutama dalam penggunaan bahasa Inggeris," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Kajian Institusi Raja dan Komuniti, CEICNet UniMAP, Profesor Madya Dr Hanum Hassan yang mengetuai delegasi penyelidik universiti itu di Pulau Tuba berkata, mereka menggunakan model Quadruple Helix yang diguna pakai bagi menjayakan projek berkenaan.

SEORANG penduduk Pulau Tuba menunjukkan kupang yang diternak di Sangkar Kupang Bestuba.
SEORANG penduduk Pulau Tuba menunjukkan kupang yang diternak di Sangkar Kupang Bestuba.

Katanya, ia bagi memastikan projek itu sentiasa terus segar dan berkekalan.

"Kerjasama erat antara agensi kerajaan dan industri diperlukan dengan melaksanakan pertemuan bersemuka bersama wakil komuniti, kajian kemasukan pelancong, 'brainstorming,' pengenalpastian projek bersama penyelidik dan proses pemindahan ilmu (KTP).

"Antara pihak yang terbabit ialah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Golden Eagle Travel & Tours Sdn Bhd dan Kola Global Holidays & Tours Sdn Bhd.

PENGUNJUNG dapat menikmati keindahan dan kedamaian di Selat Tuba.
PENGUNJUNG dapat menikmati keindahan dan kedamaian di Selat Tuba.

"Ia bagi menjayakan Projek Pesona Tuba itu yang menetapkan sasaran peningkatan 20 hingga 30 peratus pendapatan sampingan isi rumah dan peluang pekerjaan baharu," katanya.

Sementara itu, Pulau Tuba adalah pulau berbukit dan mempunyai anggaran 5,000 penduduk.

Ia adalah satu-satunya pulau yang didiami selain Pulau Langkawi dengan sumber pendapatan utama mereka adalah sebagai nelayan dan mengusahakan pertanian.

Selain terkenal sebagai lubuk ikan yang kaya dengan sumber laut, Pulau Tuba juga memiliki keindahan tersendiri yang menjanjikan percutian privasi jauh dari kesibukan kota.

ANTARA aktiviti yang boleh dilakukan ketika berkunjung ke Pulau Tuba ini ialah Tuba Island Hoping.
ANTARA aktiviti yang boleh dilakukan ketika berkunjung ke Pulau Tuba ini ialah Tuba Island Hoping.

Tiada ulasan: