27 Februari 2013

Hapuskan cukai yang membebankan - Nasrudin

16 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Ekonomi negara kini berada dalam keadaan agak parah. Kemungkaran dalam sektor ekonomi seperti ketirisan, rasuah, monopoli, penipuan, spekulasi dan pecah amanah adalah antara faktor yang menjadikan kedudukan ekonomi negara kita

"tunggang terbalik". Pengaliran wang haram juga cukup banyak. Walaupun Malaysia kaya dengan hasil, pengagihannya dilakukan secara tidak adil sehingga menjadikan golongan kaya bertambah kaya dan yang miskin semakin tertekan. Sebuah NGO, GESA muncul dengan misi dan visinya yang tersendiri bagi

menyelamatkan negara dan demi kepentingan rakyat. Antara tuntutannya kepada kerajaan adalah agar dihapuskan cukai yang membebankan rakyat. Ikuti temubual Presiden GESA yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi bersama wartawan AZIZ MUDA pada 17 Februari lalu.  

Harakah: Secara tiba-tiba Gerakan Selamat Ekonomi Negara (GESA) muncul. Boleh Ustaz jelaskan apakah sebenarnya GESA?

Ustaz Nasrudin Hassan: GESA adalah singkat kata dari Gerakan Selamat Ekonomi Negara. Ia adalah sebuah NGO yang lahir pada 12 Januari 2013 sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat 112, membawa satu visi dan misi besar ke arah membina masa depan negara dan tamadun ummah yang bebas murka Allah S.W.T. sekaligus selamat dari bencana atau musibah angkara penyelewengan serta penyimpangan ekonomi.
Ertinya Ustaz melihat ekonomi negara kita tidak selamat? Jadi apa yang akan dilakukan oleh GESA untuk memastikan ekonomi negara kita berada dalam keadaan selamat?

Ustaz Nasrudin Hassan: Selamat atau tidak adalah bergantung kepada tangan manusia yang mentadbir dan mengurus ekonomi negara. Ia juga melihat kepada asas, dasar, sistem atau manhaj ekonomi yang diterima pakai. Apakah ia bertentangan dengan kehendak Allah S.W.T., Tuhan yang mencipta manusia atau sebaliknya. Kemungkaran dalam sektor ekonomi seperti ketirisan, rasuah, monopoli, penipuan, spekulasi dan pecah amanah adalah antara faktor yang menjadikan kedudukan ekonomi negara kita "tunggang terbalik".

Mudahnya, ekonomi ini bagai "institusi" untuk mengurus perbendaharaan guna memastikan negara membangun dan rakyatnya sejahtera dengan memanfaatkan segala sumber kekayaan kurniaan Allah S.W.T. Selayaknya tiada unsur penindasan seperti mengumpulkan kekayaan dengan segala sumber yang ada hanya di kalangan elit pemerintah dan orang-orang kaya yang bermodal besar, sementara golongan miskin dan marhain terus terabai dan ditindas dengan pelbagai "diskriminasi" ekonomi.

GESA lahir untuk memerangi "kemungkaran" ekonomi sekaligus mengemukakan solusi dan alternatif  yang menepati Manhaj Ekonomi Rabbani. Objektif utama GESA ialah:

Pertama: Membawa nilai "barakah"  atau "kebaikan berlipat ganda" dalam operasi dan orientasi ekonomi melalui suatu sistem ekonomi yang patuh syariah.

Kedua: Mengekang elemen "syaqawah"  atau "kecelakaan yang membinasa" dalam interaksi dan transaksi ekonomi negara.

Siapa yang akan menggerakkan GESA dan bagaimana orientasi GESA?

GESA akan bergerak sebagai sebuah NGO yang berdaftar dan saya telah diamanahkan sebagai Presidennya. Rakan saya, Dr. Khairudin Aman Razali at-Takiri dan Ustaz Zaharudin Mohamad adalah 2 timbalan presiden yang akan banyak membantu saya menggerakkan misi GESA. Kami juga dibantu oleh 10 orang fellow yang mempunyai kepakaran dalam bidang ekonomi Islam yang diketuai oleh Dato' Dr. Haron Din selaku penasihat syariah GESA.

Fikrah ekonomi GESA ialah Ekonomi Islam dan road map GESA digaris dalam beberapa fasa bagi mencapai matlamat penubuhannya. Fasa pertama GESA akan menyelesaikan pelancarannya yang akan dirasmikan oleh Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku pengucap utama dan Pensyarah Kehormat Economic and Social Researches Center (ESAM), dalam masa terdekat dengan mengemukakan 5 Tuntutan GESA kepada Kerajaan Malaysia iaitu:

i ) Utamakan agihan cukai untuk rakyat miskin
ii ) Hapuskan sistem monopoli dan spekulasi
iii ) Minimumkan kos perjalanan rakyat
iv ) Hapuskan cukai barangan dan harta keperluan rakyat
v ) Jangan memaksa rakyat bayar cukai untuk kegunaan orang-orang kaya.

Senarai tuntutan dan pelan tindakan akan berubah mengikut fasa-fasa yang telah kita gariskan.

Boleh Ustaz beri penjelasan lanjut mengenai 5 Tuntutan tersebut?

Kita menggariskan 5 tuntutan ini berasas keperluan semasa yang mendesak untuk membebaskan mangsa penindasan dan kemungkaran ekonomi yang akhirnya menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat itu sendiri.

Pertama: Saya mengambil contoh sektor pendidikan. Kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat untuk mengurus dan mentadbir negara dan rakyatnya tidak wajar perniagakan pendidikan. Sebaliknya kerajaan mestilah mengolah hasil bumi yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. untuk menyediakan pendidikan yang baik kepada rakyat.

Kerajaan juga tidak layak menekan rakyat dengan mengambil cukai yang tinggi daripada mereka supaya mereka memiliki capital atau purchasing power dan akhirnya mereka mampu menyara makan minum anak-anak mereka di IPT atau kolej. Mereka tidak perlu bergantung kepada PTPTN untuk membiayai kos anak mereka menuntut ilmu di IPT. Bagi mereka yang tidak mampu bayar dan membiayai kos makan minum anak mereka sekalipun, sistem cukai yang baik dan adil boleh menyediakan peruntukkan wajar bagi membantu mereka. Ertinya tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa PTPTN tidak diperlukan dalam sistem ekonomi Islam.

Kedua: Cukai yang tidak masuk akal malah membebankan rakyat dengan bentuk dan nilai cukai yang tidak wajar mestilah dihapuskan. GESA merakamkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2000 yang lalu kerana berjaya menghapuskan cukai bakul bagi petani kecil dan cukai pintu rumah kediaman serta mampu meluluskan sekitar 50,000 geran tanah kepada rakyat dalam tempoh 4 tahun pemerintahannya.

GESA turut merakamkan penghargaan kepada Pakatan Rakyat yang bersedia untuk menurunkan harga kereta menerusi tawaran manifesto mereka. Kami percaya sebahagian daripada mekanisme untuk menurunkan harga kereta tersebut ialah dengan menghapuskan cukai yang membebankan rakyat dan menstrukturkan semula sistem percukaian agar ia adil dan tidak membebankan rakyat.

Ketiga: Antara contoh lain yang boleh saya nyatakan di sini ialah isu kenaikan gaji penjawat awam sebanyak 5 peratus. Ia sebenarnya tidak menambah kuasa beli rakyat Malaysia yang berjumlah 28.3 juta rakyat. 5 peratus kenaikan gaji berbanding cukai yang dibayar sehingga mencecah 40 peratus pendapatan kasar mereka adalah terlalu rendah untuk memulihkan krisis kuasa beli dan modal rakyat. 5 peratus kenaikan gaji yang melibatkan 1.4 juta penjawat awam hanyalah seperti setitik air yang menitis ke permukaan tasik kerana jumlah penerima hanyalah 0.5 peratus rakyat. Justeru itu, GESA mendesak supaya satu sistem cukai yang adil dan tidak membebankan rakyat sebagai penyelesaian, bukan hanya pemberian wang one-off  kepada rakyat yang dilihat umum sebagai gula-gula untuk mengasyikkan rakyat.

Kenapa GESA lebih menumpukan isu percukaian?

Sebagaimana yang saya sebutkan tadi bahawa isu ini dibawa dalam 5 tuntutan untuk fasa pertama misi GESA. Fasa kedua kelak mungkin GESA akan beralih kepada tuntutan berbeza setelah 5 tuntutan ini berhasil. Misi besar GESA ialah membina dasar dan sistem ekonomi Islam dalam pengurusan, pentadbiran dan pemerintahan negara ini sekaligus membebaskan negara dan rakyat daripada kemungkaran dan penindasan ekonomi.

GESA membawa isu percukaian ini kerana ramai rakyat di negara kita tidak menyedari kemungkaran dan penindasan yang berlaku dalam sistem percukaian yang diamalkan dalam negara kita sekarang.

Sebagai contoh, ramai orang memahami cukai hanya dikutip daripada income tax, road tax dan sebagainya, tetapi ramai tidak menyedari bahawa cukai juga diambil daripada pembelian barang-barang. Satu kajian yang telah dibuat pada tahun 2009, secara tidak sedar kita membayar 52 peratus daripada bayaran kereta secara bulanan itu adalah cukai semata-mata. Maksudnya, jika kita membayar RM1,000 sebulan, kerajaan mengambil RM520 cukai setiap bulan daripada rakyat.

Hari ini rakyat hanya dimomok dengan RM100 bantuan awal persekolahan dan juga BR1M. Soalnya, berbaloikah RM100 dan BR1M dalam tempoh sekian lama mereka memerintah, sedangkan rakyat terpaksa membayar cukai 52 peratus (RM520/RM1,000 sebulan) daripada installment kereta mereka setiap bulan?

Rakyat tidak pernah diberitahu oleh kerajaan berapa cukai bulanan yang terpaksa mereka bayar kepada kerajaan melalui harga barang dan perkhidmatan. Rakyat hanya diberitahu dan diulang sebut bantuan awal persekolahan RM100, BR1M yang diberikan sekali dalam tempoh yang begitu panjang. Sejak merdeka, inilah kali pertama rakyat dapat BR1M dan mungkin tiada lagi selepas ini dalam tempoh yang panjang pula, sedangkan rakyat terpaksa membayar cukai yang tinggi saban bulan kepada kerajaan.

Bagaimanakah sistem ekonomi Islam sebagai alternatif mampu memulihkan ekonomi negara?


Jika kita mempelajari ilmu ekonomi Islam, ia tidak terhenti di atas penjanaan sumber material dengan memastikan pertumbuhannya subur semata-mata, tetapi juga sangat menekankan soal economist, bagaimana ia meluhurkan peribadinya berdepan dengan amanah mengurus, mentadbir dan mengagih sumber kekayaan negara bermula dari pengolahan modal yang baik sehinggalah kepada mengarang keuntungan atau laba agar ia dapat dinikmati oleh setiap insan yang berhak memilikinya.

Ekonomi Islam sangat menekankan aspek taqwa agar tidak berlaku penyelewengan, pecah amanah, ketirisan dan ketidaktelusan dalam mengendali aliran ekonomi negara. Pada masa yang sama, Islam menentang sekeras-kerasnya elemen penindasan serta kezaliman dalam operasi dan orientasi ekonomi seperti rasuah, riba, spekulasi dan monopoli.

Islam juga melampirkan elemen spiritual dalam menangani urusan ekonomi seperti "rahmat" dan "berkat", suatu istilah dan kaedah yang tidak terdapat dalam sistem ekonomi ciptaan manusia sebagai nilai tambah setelah membebaskan ekonomi dari dosa serta noda penindasan dan pengelewengan.

harakah/-

Tiada ulasan: