27 Februari 2013

Tidak terlintas berundur dari PAS - Haron Din

16 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -




Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din menjadi perhatian apabila Majlis Syura Ulamak menjelaskan pendirian mengenai kalimah Allah. Untuk menunjukkan berlaku pertelingkahan pendapat yang ketara, bukan saja dalam Pakatan Rakyat, khususnya dengan DAP, malah dalam PAS sendiri, media sering mengutip pandangan beliau, ada kalanya di luar konteks.

Melalui internet, Dr Haron Din juga dihebohkan telah keluar PAS. Wakil Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN, SAIDAH HAIRAN dan jurugambar WAN ZAHARI WAN SALLEH berkunjung ke rumahnya di Bandar Baru Bangi, pada 18 Februari lalu, bagi mendapatkan penjelasan lanjut. Hampir dua jam beliau berkongsi cerita. Berikut adalah petikan daripada wawancara tersebut.


HARAKAH:  Macam-macam khabar angin disebarkan, antara lain  dalam internet, kononnya, Ustaz berhasrat meninggalkan PAS. Ramai yang bertanya dengan kami, minta dipanjangkan dengan Ustaz sendiri.

DR HARON DIN: Memang banyak khabar angin tersebar. Ketika isu kalimah Allah muncul, dikatakan dua Haron akan tinggalkan PAS. Datuk Haron Taib dan saya  tidak bercakap apa-apa pun. Malah hari ini, adik ipar dari Perlis telefon isteri saya, nak pastikan benarkah Haron Din meninggal dunia?

Orang sengaja buat berita sensasi di waktu kita masih ada. Saya tidak ada niat menjelaskan kepada akhbar kerana saya percaya ia tidak akan menyelesaikan masalah, dan kadang-kadang boleh menjadi lebih buruk lagi. Sebelum ini dua tiga kenyataan saya diterbalikkan dan ini cukup memalukan.

Bagaimana muka depan Utusan Malaysia hari ini, Ustaz lawan Karpal Singh?

Selepas solat Subuh di surau, ada orang tanya, bila ustaz buat kenyataan lawan Karpal Singh. Bila pula ... itu diambil ketika saya berceramah di Taiping. Memang saya sebut akan pertahankan kalimah Allah kerana Allah tidak boleh dikufurkan kerana Allah itu Ahad. Itu keluar dalam Youtube.

Tentang keluar PAS, tidak terlintas dalam benak saya, bahawa saya akan keluar PAS dalam menghadapi isu  ini. Melawak tidak pernah, bercakap pun tidak pernah. Selepas bersama dalam perjuangan, tidak terfikir hendak keluar PAS.

Selalu disebut beberapa penulis bahawa Haron Din nampak lembut tapi apabila buat keputusan dia amat tegas. Ketegasan saya itu dilihat sebagai permulaan untuk saya akan berkeras dengan pihak pimpinan PAS. Mungkin faktor itu menyebabkan saya ditafsirkan akan keluar meninggalkan perjuangan.

Dalam menghadapi isu kalimah Allah ini atau apa sahaja isu, saya tidak pernah, malah tidak pernah terfikir untuk meninggalkan perjuangan bersama PAS. Kalau ada orang tidak senang dengan sikap dan pendirian saya, itu cerita lain.

Dimainkan media, tentang kalimah Allah, seolah-olah pendirian Tuan Guru Presiden PAS yang dibacakan selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan,  bercanggah dengan  Majlis Syura Ulamak?


Sekarang ada pihak melagakan seolah-olah Presiden PAS mengambil langkah yang silap dalam menyokong dan membuat deklarasi Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada orang yang bukan Islam.

Saya hendak betulkan, saya tengok sendiri kenyataan bertulis Tuan Guru Abdul Hadi. Dia sebut pada saya, mana-mana orang termasuk orang kafir boleh menggunakan kalimah Allah dengan syarat tidak menyalahgunakan perkataan itu.

Pemberita sengaja mengambil ayat pertama dan meninggalkan ayat kedua. Dengan lain perkataan, apabila ambil yang pertama saja, iaitu mana-mana orang termasuk orang kafir boleh menggunakan perkataan Allah, memang itu menjadi masalah.

Syarat tidak menyalahgunakan perkataan itu tidak pula disebut. Syarat itu bermakna pendirian Presiden sama dengan pendirian Majlis Syura.

Saya mengolah dan mengatakan bahawa, betul saya juga berpandangan dengan beliau, cuma ayat saya menggunakan ayat negatif dahulu, "tidak boleh dibenarkan ...." Presiden menggunakan ayat positif; "Boleh menggunakannya, tapi dengan syarat tidak menyalahgunakan."

Isu asalnya, pihak Kristian meminta pihak berkuasa agama di Malaysia ini membenarkan mereka menterjemahkan perkataan-perkataan God dalam Bible itu dengan Allah. Itu itu asalnya, kita jangan lari.

Saya sebut banyak kali, Allah menurut kefahaman, amalan dan pegangan kita, bahawa Allah itu selama-lamanya Tunggal, Esa, Ahad.

Selain surah al-Ikhlas, menjadi amalan kita dalam wirid selepas memberi salam solat, maksudnya, "Tidak ada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Dia, Allah yang Esa ... tanpa ada syirik dengan-Nya." Wirid ini kita ulang selepas solat 10 kali.

Apabila sebut Allah sahaja mestilah Allah itu Esa, tidak boleh di tempat God, ia bukan yang satu, bukan yang Esa. Jadi, Presiden sudah tegaskan dari awal, tidak boleh salahguna.

Sebab itu tidak sepatutnya menjadi pertelingkahan sesama kita kerana ia adalah benda yang senang difahami.

Adakah isu kalimah Allah ini akan menyebabkan terjejasnya sokongan kepada Pakatan apabila rakyat menyaksikan bertelingkah pendapat sesama sendiri?

Saya lebih melihat  isu ini sengaja dibesar-besarkan untuk menunjukkan pimpinan Pakatan tidak bersatu, lebih-lebih lagi PRU13 sudah di ambang pintu.

Memang agenda lawan untuk melaga-lagakan kita. Kekuatan Pakatan semakin meningkat dan  boleh menggugat kerajaan BN yang ada.  Jadi bagaimana hendak mengalahkan Pakatan  supaya tidak boleh kuat sampai boleh menumbangkan BN dengan mudah? Satu sahaja caranya, iaitu pecah-belahkan Pakatan. Jika Pakatan bersatu, ia  memang ancaman besar yang boleh menyebabkan Umno-BN  tersungkur.

Mencari jalan supaya Pakatan  berpecah memang agenda utama media. Dari dulu hingga sekarang, jika ada saja peluang untuk dilagakan sesama rakan kongsi dalam pembangkang, Umno-BN akan lakukan. Kebetulan timbul, antaranya isu kalimah Allah sekarang. Memang isu ini menyentuh perasaan dan hati nadi umat Islam.

Kita berpegang kepada tahaluf siyasi, iaitu kita berkongsi dan bermuafakat menghadapi musuh politik yang sama. Hendak mengalahkan mereka memang agak sukar tapi dengan bersatu kita boleh. Di sinilah kita berpakat dan tidak berlawan sesama kita dalam pilihan raya.

Yang kedua, ada kena mengena dengan dasar bagi setiap parti komponen Pakatan. Mungkin dalam DAP ada pegangan dia dan ada perkara yang mereka tidak boleh bertolak ansur.  Dalam Pakatan Rakyat pun sama. Sama juga dalam PAS, kita ada al-Quran ada as-Sunnah. Sesuatu yang melanggar al-Quran, kita tidak boleh bertolak ansur.

Matlamat terdekat Umno-BN, untuk menghadapi pilihan raya yang sengit ini, maka Pakatan akan digambarkan  tiada persepakatan dan bertelagah sesama sendiri. Macam mana mereka hendak memerintah Malaysia jika bercakaran sesama parti komponen dalam Pakatan?

Itulah  gambaran media. Sedangkan  pertelagahan lebih teruk berlaku sesama Umno. Begitu juga Umno dengan MCA, Umno dengan Gerakan tetapi tidak diuar-uarkankan media, yang dikawal ketat parti pemerintah.

Sepatutnya rakyat Malaysia telah lama faham, ini bukan kali pertama kita menghadapi mainan media. Malah dari dulu lagi, setiap kali pilihan raya, maka  akhbar atau media arus perdana, termasuk pilihan raya kecil apatah lagi pilihan raya umum, misalnya akan disiarkan hari ini 50 orang PAS masuk Umno.

Selang sehari 100 orang PAS masuk Umno. Kalau kita kumpulkan berita orang PAS masuk Umno, mungkin dah tak ada orang dalam PAS. Tapi bila pilihan raya kita menang juga, atau kalau kalah, hanya kita kalah sedikit.

Maknanya, berita seupama itu tidak ubah sebagai perang psikologi. Nak menggambarkan betapa lemahnya parti pembangkang, tapi sebenarnya tidaklah begitu. Saya mengharapkan rakyat, khususnya ahli dan penyokong PAS boleh faham situasi sebenar dan tidak terpengaruh dengan apa yang digambarkan sebagai pertelagahan dalam PAS, begitu juga khabar angin saya atau orang lain akan tinggalkan PAS.

Bagaimana Ustaz melihat kesediaan pimpinan Pakatan Rakyat menangani perbezaan pandangan yang timbul, dengan kesedaran media sememangnya menunggu masa untuk mengeksploitasinya?

Perbezaan pandangan dan pendapat dalam suatu organisasi besar, terutama apabila tiga parti membentuk satu gabungan, tidak mungkin selama-lamanya mereka bersatu pendapat.

Hatta dalam rumahtangga, kita dengan isteri misalnya, sepatutnya tidak berlaku pergeseran kerana kita berkongsi hidup, berkongsi rumah, berkongsi anak, tapi kita berselisih pendapat juga.

Yang penting, jika timbul perselisihan pendapat, kita boleh duduk bincang dan selesaikan. Macam kita selesaikan masalah pembahagian kerusi.

Begitu juga dalam isu kalimah Allah. Kita ada landasan agama yang cukup jelas. Alasan yang kita pegang memang tidak boleh diubah. Sebab itu kita kena terima hakikat bahawa  mereka juga yang ada benda, yang akan kita jumpa nanti, yang tidak boleh diubah.

Saya lihat, ada perkara yang sepatutnya kita lebih awal duduk berbincang dan bermuafakat dalam semua masalah.  Katakanlah, kita senaraikan apa yang menjadi halangan untuk kitaterus bersatu, bukan sahaja isu kalimah Allah, malah  isu-isu lain juga.

Sebelum  keluar dalam akhbar dan akan menjadi bahan mainan media, ada eloknya kita berjumpa atau ketua-ketua parti berbincang lebih awal dan bawa balik kepada parti masing-masing terlebih dahulu supaya dapat kita buat langkah berjaga-jaga. Elok jangan dihebahkan kepada media sebelum persetujuan dapat dicapai.

Kena kerap ada perjumpaan dan perbincangan dalaman dan jika perlu dirujuk kepada Majlis Syura, rujuk dulu. Dalam politik kadang-kadang hal yang remeh pun sengaja dijadikan isu.

Sebenarnya ketetapan Majlis  Syura banyak melegakan pihak dalaman kita. Kita kata perkataan Allah tidak boleh diterjemah. Jika ia diterjemah dengan perkataan apa pun, maka ia akan rosak. Bukan rosak makna sahaja tetapi ia akan merosakkan akidah.

Dalam al-Quran ada lebih 3,000 perkataan Allah. Dalam Bible satu kalimah Allah pun tidak ada. Mereka ada God sahaja. Kenapa pulak hendak dirosakkan hubungan baik antara kedua-duanya sejak sekian lama.

Dalam organisasi kita, ada adab-adab berjemaah. Kalau dibuat keputusan oleh Majlis Syura,iaitu badan tertinggi, sepatutnya mengikut adab berjemaah, semua ahli kena sokong.  Jikayang tidak sokong kerana ada pendirian peribadi, maka sepatutnya dia diam sahaja.

Kalau timbul perpecahan dan sebagainya, takkan kita hendak ambil tindakan? Adab berjemaah itu mengkehendaki supaya kita akur apabila kita sudah ada keputusan.

Media dan Umno sendiri memang meletakkan PAS sebagai sasaran utama, bagi memalitkan imej buruk terutama pada kaca mata umat Islam. Mereka mahu gambarkan PAS sentiasa berundur ke belakang apabila timbul bantahan berkaitan Islam.

Memang menjadi mainan media hendak menggambarkan PAS dalam Pakatan Rakyat ini sentiasa berada dalam keadaan defensif. Apabila diserang kita digambarkan berundur ... sebenarnya tidak begitu. Macam kalimah Allah, kita mara ke hadapan dan tidak ke belakang. Kita pertahankan.

Sewaktu heboh dikatakan Ustaz keluar PAS, difahamkan sebenarnya Ustaz sudahpun diptuskan bertanding dalam PRU13 di Perlis. Ustaz terima tawaran itu?

Saya pernah menawarkan kepada kepimpinan PAS Perlis agar tidak disenaraikan untuk bertanding dalam PRU13 kerana tidak cukup sihat fizikal. Semua orang tahu. Tidak ada orang di Malaysia jantung dibedah lima kali, saya seorang saja (ketawa).

Umur sudah lanjut memang saya terasa banyak kekurangan. Lagi pula sibuk dengan kerja dakwah Darussyifa yang mempunyai banyak cawangan di seluruh Malaysia.

Perhubungan PAS Perlis memanggil saya bersemuka. Saya diputuskan kena bertanding Dun dan Parlimen. Malah Ustaz Hashim Jasim dan Rus'sele Eizan menawarkan Dun yang dimenangi mereka. Saya juga ditawarkan Parlimen Arau. Pada 2008 saya kalah 300 undi sahaja.  Saya tolak tawaran itu.

Mesyuarat tidak terima pandangan saya, mereka kata akan bantu dan tampung kelemahan saya. Akhirnya saya terima satu sahaja, iaitu Parlimen Arau.

Kalau saya berhasrat menarik diri daripada perjuangan, tentulah saya tidak bersedia bertanding. Lagi pun tiada alasan saya hendak meninggalkan perjuangan. Saya sendiri telah mendukungnya sejak 1975, iaitu apabila dicalonkan bertanding Jawatankuasa Agung PAS. Saya dapat undi terbanyak. Ketika itu umur saya 35 tahun.

Saya pegang jawatan sampailah pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dilaksanakan.  Auku mulanya tidak keras, masih boleh pegang jawatan. Sampailah saya  dapat surat, jika hendak bergiat politik, silakan, tapi kena bayar balik biasiswa PhD, nilainya 10 kali ganda.

Apabila  cukup umur 55 tahun pencen, saya tidak mohon bekerja  ‘part time’ seperti lazimnya. Saya aktif semula, dengan jawatan awal Ketua Penerangan PAS Pusat. Kemudiannya dilantik Timbalan Mursyidul Am, sampailah hari ini.

Ia menggambarkan saya tetap bersama dengan kepimpinan dan saya akan bagi sumbang bakti sampai Allah menentukan apa kesudahannya.

Nasihat Ustaz kepada masyarakat Islam yang masih sangsi dengan perjuangan Islam PAS?

Tidak dinafikan PAS sebagai parti Islam tidak mendapat dukungan sepenuhnya umat Islam. Keahlian PAS sendiri walaupun sudah berumur lebih setengah abad sekitar sejuta lebih.

Ini kerana masyarakat Islam di Malaysia lebih banyak termakan asakan media dan tawaran penghidupan  berasaskan nilai  kebendaan, yang meremehkan nilai kerohanian dan tidak menggambarkan Islam itu sebagai wadah yang wajib diimani dan dilaksanakan dalam kehidupan.

Mesej ikrar kita dalam solat, bahawa setiap Muslim tidak boleh terpisah dengan Allah SWT dalam semua gerak kerjanya, tidak dihayati. Isu lama, agama suku politik suku sebenarnya antara yang menjadi punca besar masalah ini.

Maka PAS sebagai sebuah parti Islam, wadah perjuangan kebenaran,  tidak sampai kepada orang ramai melainkan yang dirosakkan oleh media tentang PAS memperalatkan agama untuk kepentingan diri dan sebagainya.

Kemampuan kita untuk menyampaikan mesej parti terhalang. Apapun kita tetap bersyukur, keahlian PAS makin bertambah. Bukan ahli kita sahaja bertambah, sokongan pengundi juga bertambah.

Mutakhir ini dengan adanya media baru, seperti laman web, blog, Facebook dan Youtube, ia telah mengubah persepsi masyarakat kepada perjuangan kita. Penggerak parti turut menunjukkan komitmen tinggi melaksanakan dakwah dan kerja-kerja penerangan di seluruh pelosok negara.

Masyarakat juga semakin jelas dengan propaganda murahan  Umno yang mendakwa memperjuangkan nasib dan kepentingan orang Melayu. Selama lebih 55 tahun mereka berkuasa, ternyata agama kita rugi, ekonomi kita rugi, masalah sosial bertambah parah. Kita masih terkebelakang berbanding orang lain.

Kesedaran itu kini menghambat Umno. Sekarang mereka berhempas pulas hendak mempertahankan kuasa dengan apa jua cara, tetapi rakyat semakin sedar.  Rakyat tidak mudah ditipu atau diperbodohkan lagi.

Atas asas itulah kita tidak boleh berhenti berjuang, media kita kena terus giat memberi penjelasan. Aktivis kita harus lebih proaktif bergerak. Salah faham selama ini mesti diperbetulkan. Kita akan memimpin umat Islam untuk mereka hidup bahagia dunia sampai akhirat.

Jangan lupa kita akan bangun di Padang Mashyar dan akhirnya kita akan masuk syurga. Jadi kalau kita tinggalkan penghayatan hidup beragama dan hanya pentingkan dunia sahaja, macam Umno mengajak orang kepada dunia sahaja, maka masyarakat akan rugi.

Nampaknya seperti ada pendekatan baru Umno menyerang PAS sehingga mereka berani mendakwa bahawa haram menyokong PAS. Juga dikatakan ada barisan ulama muda dalam Umno bagi berdepan dengan PAS dalam isu-isu agama.

Adanya ulama muda dan tua tidak menjadi benda yang ganjil. Sebab manusia selama-lamanya akan terpengaruh dengan kepentingan peribadi.

Orang yang mendakwa mengundi PAS itu haram dan mengundi Umno itu wajib, kita nak tengok juga alasan mereka terlebih dahulu. Mereka  menggunakan alasan PAS bersekongkol dengan DAP yang jelas menentang hudud, maka dengan itu dikatakan undi PAS adalah haram.

Jika  PAS dikatakan bersekongkol dengan orang yang menentang hudud, dan dengan itu haram sokong PAS, maka bagaimana pula Umno sendiri yang menentang hudud.  Yang dikatakan wajib menyokong Umno ... sedangkan Umno itu sendiri menentang hudud, iaitu lebih teruk daripada DAP menentang hudud.

Saya masih ingat surat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada 1993, ketika Kanun Jenayah  II Kelantan hendak dilaksanakan.

Surat itu memberi amaran keras jika  kerajaan Kelantan melaksanakan hudud, kerajaan Pusat tidak teragak-agak mengambil tindakan keras.

Surat itu tidak ditarik balik sampai ke hari ini. Maknanya, bukan sahaja pemimpin agungUmno yang menentang hudud, malahan orang-orang Umno juga mempermain-mainkan hudud.

Kita juga pernah dengar, misalnya ucapan siapa nak sup tangan, pergilah ke Kelantan. Jelas mereka menentang hudud.  Umno yang memegang kuasa selama 57 tahun ini, pernahkah mereka mengatakan hendak laksanakan hudud. Dengan sendirinya mereka termasuk dalam kelompok orang yang menentang hudud.

Ya, jika PAS yang masih tetap mempertahankan Islam, cuma berkawan dan bertahaluf dengan pihak yang menentang hudud, maka dikatakan haram menyokong PAS, maka  Umno yang menjadi ketua kepada BN,  dia sendiri menentang hudud, bagaimana pula? Sepatutnya kalaulah alasan itu dipakai, maka undi PAS pun haram dan undi Umno pun haram juga.

Ini yang kita bincang, dalam istilah politiknya tahaluf siyasi. Bila tahaluf siyasi, maka kita bertahaluf dengan bukan Islam.

Boleh atau tidak kita bertahaluf dengan bukan Islam? Nabi jawab boleh. Sebab Nabi bertahaluf dengan Bani Quraizah. Apabila Bani Quraizah melanggar tahaluf, baru  Nabi berperang dengan mereka.

Tahaluf itu kerjasama. Boleh atau tidak orang Islam bekerjasama dengan orang kafir? Orang kafir ini selamanya tidak akan terima Islam. Jawapannya, boleh. Nabi semasa hendak berpindah ke Madinah bekerjasama dengan orang kafir.

Kenapa Nabi bekerjasama dengan orang kafir untuk tunjuk jalan ke Madinah? Apakah Jibril tidak boleh tolong tunjuk jalan kepada Nabi? Apakah Nabi tidak boleh dapat wahyu tunjuk jalan ke Madinah. Mengapa ambil orang kafir untuk tunjuk jalan?

Nabi juga bekerjasama dengan orang kafir dalam muamalat. Nabi gadai baju besi kepada Yahudi. Sampai Nabi wafat, baju besi itu ada pada orang Yahudi itu. Adakah tidak ada orang Islam  yang boleh tolong Nabi sehingga  kena gadai baju? Tidakkah menantunya Uthman Affan kaya, bapa mentuanya, Umar Al-Khattab kaya.

Tapi ia bukan soal kaya miskin. Nabi nak beritahu umat Islam boleh bekerjasama dengan orang kafir. Jadi, dari mana datangnya haram bertahaluf dengan bukan Islam itu?

Sedangkan haram hukumnya jika kita mengharamkan benda yang tidak haram atau mengharamkan barang yang dihalalkan Allah. Tahaluf itu tetap halal disebabkan Nabi buat.  Apabila Nabi buat,  maka halallah apa yang kita buat ini kerana ia menurut tindakan Nabi.  Jika kita haramkan barang yang Allah halalkan, itu  dosa yang amat besar.

Maka sebab itu undi PAS dibolehkan, diharuskan, malah disyariatkan, dan ada masanya wajib hukumnya.

harakah/-

Tiada ulasan: