27 Februari 2013

Kembalikan nilai sudut pidato di UKM

16 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM) berpendirian bahawa pentadbiran UKM bertanggungjawab terhadap kematian sudut pidato di universiti itu.

“Sudut pidato ini mesti dinaik taraf baik dari aspek tempat dan juga sistem perlaksanaannya,” ujar Setiausaha Agungnya, Muhamad Razif Ahmad dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau menyatakan demikian berikutan Wacana Sinar Harian Siri ke-17 yang mengupas tajuk Kuasa Politik Mahasiswa, semalam.

Katanya, ISIUKM berpandangan adalah penting untuk pihak pentadbiran UKM mengambil perhatian secara serius berkaitan kritikan salah seorang panelis yang juga Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) merangkap Presiden Ikatan Studi Islam UKM, Muhamad Azan Safar terhadap sudut pidato UKM yang tidak bermaya dan lesu.

Muhamad Azan Safar di dalam petikan akhbar sinar harian hari ini menyebut:

‘Inilah masalah yang berlaku. Diwujudkan ‘Speaker’s Corner’ kononnya untuk melatih mahasiswa bersuara, tetapi sudahlah tempatnya jauh di belakang daripada tumpuan, kini ada yang langsung sudah tidak hidup lagi seperti di UKM yang digunakan oleh peniaga kedai makan’.

“Sudut pidato ini merupakan lambang kesuburan budaya demokrasi di kampus.

“Di sinilah tempat untuk mahasiswa melontarkan idea pandang mereka walaupun berbeza ideologi dan pandangan, tetapi inilah yang dikatakan sebagai idealisme mahasiswa yang sarat dengan idea dan kritikan,” ujar Muhamad Razif lagi.

Katanya, sudut pidato mesti diletakkan di tempat perkumpulan dan tumpuan pelajar serta berikan kebebasan sepenuhnya kepada mahasiswa untuk memanfaatkannya tanpa perbanyakkan kerenah birokrasi seperi perlu meminta izin HEP untuk mendapatkan keizinan menggunakannya.

Apa yang mengecewakan, katanya sudut pidato UKM yang berada di kawasan tidak strategik bahkan hari ini sudah menjadi tempat diletakkan meja-meja makan bagi gerai-gerai makanan berdekatan.

Beliau berkata, betapa penghinaan yang besar terhadap demokrasi kampus dan Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajardan Alumni UKM, Prof Datuk Ir. Othman A. Karim mesti bertanggung jawab di dalam hal ini.

Hal ini juga, kata beliau adalah selari dengan semangat pelancaran semula sudut pidato oleh Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi pada tahun 2009 yang lalu berikutan Auku yang telah dipinda pada bulan Februari tahun tersebut.

“Namun hari ini semangat itu telah dicabul oleh sikap tidak bertanggungjawab pentadbir universiti hari ini,” ujarnya lagi.

harakah/-

Tiada ulasan: