09 Ogos 2011

Jangan sombong, neraka jahanam sedang menunggu..

09 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Oleh : Zainal Dahari

Syukur kita ke hadrat Allah kerana masih diberikan nyawa dan nafas dan masih berada dalam bulan yang mulia iaitu bulan Ramadan Al-Mubarak semoga kita akan terus dipelihara Allah dan mampu mengerjakan amal ibadat yang dituntut dan dijauhkan dari melakukan segala yang dimurkainya.

Sesungguhnya kita perlu insaf bahawa akan sampai masanya, tidak akan berguna lagi segala kemewahan, pangkat yg tinggi, harta yang banyak, rumah yang besar, kereta yang berjenama mahal, pasangan yang cantik, keluarga yang besar dan sebagainya bila nyawa dicabut manakala jasad dan roh sudah dipisahkan oleh Allah swt.

Pada ketika itu sudah terputuslah dan tiada lagi kasih sayang antara suami isteri, ibu dan ayah serta anak-anak. Yang akan mengiringi dan bersama kita hanyalah tiga perkara, harta yang diinfakkan di jalan Allah, amalan dan ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan untuk kedua ibubapanya.

“Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” Al-Baqarah 183

Bulan Ramadan didatangkan setiap tahun supaya setiap orang yang mengaku beriman sentiasa bermuhasabah dan juga sentiasa berusaha memperbaiki diri dalam beribadat serta kekal dalam sifat tawadduk merendah diri dan tidak sekali-kali menyimpan sebarang sifat sombong yang akan merugikan kita bukan sahaja di dunia lebih-lebih lagi sewaktu bertemu Illahi nanti.

Kuliah yang dihadiri kali ini menceritakan tentang balasan azab siksa akhirat bagi orang yang sombong dan tidak bersyukur kepada kurniaan Allah semasa hidup di dunia ini.

“ Dan orang-orang kafir akan dihalau ke neraka Jahannam dengan berpasuk-pasuk, sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah penjaga-penjaganya kepada mereka; “Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari ini (yakni hari pembalasan) ?” Mereka menjawab: “ Ya, telah datang! Tetapi telah ditetapkan hukuman azab atas orang-orang yang kafir” Az Zumar 71

“ (Setelah itu) dikatakan kepada mereka: Masuklah pintu-pintu neraka Jahannam itu dengan keadaan tinggal kekal kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang yang sombong takbur ialah neraka Jahannam. Az Zumar 72


Kumpulan manusia di akhirat nanti hanya ada dua sahaja, iaitu mukmin atau kafir, kalau mengikut perintah Allah dan rasul kumpulan itu adalah mukmin, tetapi kalau ingkar tidak mematuhi perintah Allah dan rasul, kumpulan manusia tersebut adalah kafir. Di manakah kita ? Kalau sekadar mengaku Islam tetapi tidak menjalankan dan menurut perintah Allah maka kita belumlah lagi mukmin dan kita akan termasuk dalam kumpulan kedua itu di akhirat nanti, na’uzubillah minta dilindungi Allah.

Tahukah kita bagaimana rupa neraka Jahannam itu. Mengikut riwayat yang diceritakan oleh Rasulullah neraka Jahannam itu amat besar dan di tengahnya terdapat satu lubang yang amat besar lagi amat dalam, sedangkan di bawahnya ada api yang menyala-nyala, yang menjulang-julang yang akan menolak naik apa-apa yang jatuh kedalamnya, kemudian jatuh semula dan ditolak naik semula, begitulah seterusnya dan selamanya. Kehangatan dan kepanasan api neraka itu pula dapat dirasai sejauh beberapa tahun perjalanan. Rasulullah juga menyatakan jika dijatuhkan seketul batu ke dalam lubang itu, ia akan mengambil masa 40 tahun untuk sampai ke dasar lubang tersebut.

Sudah tentu tidak dapat kita bayangkan bagaimana azabnya siksa yang akan diterima oleh sesiapa yang dicampakkan ke dalam neraka Jahannam itu. Kita juga selalu diceritakan bagaimana kasarnya tindakan dan tingkahlaku semua malaikat penjaga neraka.

Mengikut ayat di atas penghuni neraka ini ialah orang-orang yang sombong lagi takbur.

Oleh itu hindarilah segala perkara yang boleh menjuruskan diri kita kepada sikap sombong, semoga kita tidak dihumban bersama dengan orang-orang kafir ke dalam neraka Jahannam.

Marilah kita sentiasa berusaha meningkatkan nilai ibadat kita kepada Allah dan sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakanNya walaupun sedikit pada pandangan kita. Jika kita mempunyai apa-apa kelebihan janganlah bertangguh untuk menginfakkannya kerana umur nafas dan nyawa kita yang diberikan Allah sejak berusia tiga bulan dalam kandungan ibu itu sudah semakin kurang dan kita tidak tahu bila masanya ia akan habis.

Sehubungan dengan sikap yang dibenci Allah ini, ada baiknya kita berkongsi satu cerita tentang seorang yang sombong di zaman Rasulullah.

Diriwayatkan terdapat seorang gembala beragama Yahudi yang mempunyai seekor unta yang sangat disayanginya, dibelanya sejak kecil dan unta tersebut sentiasa mematuhi segala arahan dan tidak pernah membantah sedikitpun. Namun dalam hati gembala ini ada sifat sombong tidak mahu mengaku bahawa segala hartanya adalah milik Allah, tidak juga mengaku kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Pada satu hari sewaktu mahu membangnkan untanya untuk menjalankan satu tugas, untanya tidak mahu patuh seperti sebelumnya. Keadaan ini membuatkan gembala tersebut amat marah, lalu dia mula mengungkit-ungkit atas apa yang diberikan selama ini, seperti memberi makan, memberi minum, menyediakan tempat tidur dan sebagainya. Sambil berleter dia mula memukul unta tersebut dengan harapan unta itu akan kembali patuh kepadanya. Unta itu kemudiannya bangun tetapi tidak mahu mempedulikan tuannya sebaliknya terus berjalan dan hanya berhenti dan duduk di belakang Rasulullah yang kebetulan ada berkeperluan berhampiran di situ.

Orang Yahudi tersebut mengekori untanya dan tidak berapa lama sampailah ke hadapan Rasulullah lalu ditanya oleh baginda, apakah sebabnya dia nampak seperti sedang marah dan tidak gembira!

Dijawablah oleh gembala tersebut, “Wahai Muhammad, aku sangat marah kerana tidak dapat menyelesaikan satu tugas sebab untaku tidak mahu lagi patuh kepadaku sedangkan aku sudah banyak berhabis kerananya.”
(disebut hanya Muhammad kerana dia bukan orang Islam dan tidak mengaku kerasulan nabi).

Rasulullah kemudian berpaling dan bertanya kepada unta tersebut, “Wahai unta mengapa kamu bertindak demikian?”
(Rasulullah diberi kelebihan oleh Allah untuk berbicara dengan apa sahaja bila diperlukan) .
.
Dengan fasih unta itu menjawab dan didengari oleh gembala tersebut,”Ya Rasulullah, aku bertindak demikian kerana tuan aku tetap sombong dan masih tidak mahu berubah, tidak mahu mengaku kerasulanmu”

Rasulullah kemudian bersabda, “Wahai tuan unta, sedangkan unta kamu yang hanya diberikan otak tidak boleh berfikir pun mengaku kerasulan aku, mengapa kamu yang Allah berikan otak dan boleh berfikir tidak mahu berbuat demikian ? “

Mendengar sahaja jawapan unta dan teguran dari Rasulullah itu, dengan segera orang Yahudi tersebut menghulurkan tangan kepada Rasulullah dan mengucap dua kalimah syahadah di hadapan baginda.

Begitulah kesudahannya orang yang sombong tetapi sebenarnya orang Yahudi itu adalah orang yang bernasib baik, ia bertukar menjadi seorang Islam dan Insyaallah diampunkan Allah segala dosanya yang telah lalu, sebaliknya bagaimana pula keadaan kita ? Fikir-fikirkanlah.

Marilah kita berusaha dan berdoa semoga kita akan dimasukkan pula kedalam golongan atau kumpulan yang diceritakan dalam ayat Al-Quran seperti di bawah:

“Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasuk, sehingga apabiila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sudah sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata, “Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya “ (mereka pun masuk) “ Az Zumar 73

“ Serta mereka berkata; “ Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janjiNya kepada kami, dan yang menjadikan kami mewarisi bumi Syurga ini dengan sebebas-bebasnya, kami boleh mengambil tempat dari Syurga ini di mana sahaja kami sukai, maka pemberian yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal”. Az Zumar 74

Semua orang Islam tahu dan yakin bahawa segala janji Allah itu adalah benar; segala kejadian lalu adalah benar, kejadian sekarang adalah benar dan segala kejadian yang akan datang juga tetaplah benar dan tiada sebarang keraguan atas segala-galanya.

Marilah dengan kesempatan yang amat terhad ini, Ramadan pun sudah hampir memasuki peringkat kedua, marilah dengan apa-apa sahaja kekuatan dan upaya yang kita ada, marilah sama-sama kita bersihkan hati dan jiwa kita daripada sifat sombong dan segala perkara dari sifat Mazmumah dan marilah kita isikan semula sedaya upaya kita dengan segala sifat Mahmudah semoga kita berjaya dunia dan akhirat.

“ Dan peliharalah diri kamu dari (huru hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikitpun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfa’at kepadanya sebarang syafa’at, dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara).” Al-Baqarah 123

.“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya” Al-Baqarah 172

“ Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” Al-Baqarah 208

.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Janganlah mau disanjung-sanjung,
Engkau digelar manusia agung,
Sadarlah diri tau diuntung,
Ketika masa keranda diusung.