21 Muharram 1433H. [MOD] -
Oleh Annuar Kamaruddin
Hari ini rata-rata rakyat Malaysia termasuk pegawai dan kakitangan kerajaan resah gelisah gara-gara teka-teki pilihanraya yang disengajakan. Sama ada hendak mengekalkan pemerintahan BN atau memilih Pakatan Rakyat sebagai pemerintah baru bukanlah persoalan.
Yang meresahkan adalah kerana tidak dapat merancang aktiviti keluarga, aktiviti cuti dan persediaan kewangan tahun 2013. Golongan berpendapatan rendah mengharapkan pemberian BR1M secepatnya. YB-YB mengharapkan kepastian sama ada dicalonkan semula atau tidak secepatnya. Kakitangan kerajaan yang bakal mendapat bonus sudah merancang hendak bercuti dan berehat panjang sesudah setahun penat berkerja.
Ibu bapa yang ada anak belajar di luar negeri sudah berkira-kira hendak menjenguk anak sambil bercuti. Bakal bapak mertua dan mak mertua sudah merancang tarikh kenduri kahwin anak kesayangan mereka.
Namun semuanya resah gelisah. Kalau tetapkan tarikh dan tempah kad jemputan, tahu-tahu hari itu jadi hari mengundi, alamat rosaklah program. Siapa hendak makan kenduri. Orang-orang semua hendak berkempen.
Air Asia pula menawarkan pakej dan tambang yang kelihatan murah dan menjimatkan. Kalau tempah tiket awal-awal untuk ke luar negeri, tiba-tiba minggu itu kena hari mengundi, hangus semua bayaran. Masa depan negara lebih utama. Kalau bilik penginapan hotel atau resort sudah ditempat, tahu-tahu minggu itu kena hari mengundi, hilang semua deposit tempahan.
Pepatah pengurusan ada mengatakan “If you fail to plan, you plan to fail”. Nampak gayanya pengerusi Barisan Nasional hari ini sudah gagal merancang hari penentuan masa depan negara. Asyik bermain teka-teki. Hendak tunggu situasi menguntungkan BN baru hendak bubar parlimen.
Mungkin resah gelisah BN beribu kali ganda berbanding resah gelisah rakyat. Apa-apa pun, BN sudah gagal merancang dan pastinya BN sedang merancang kegagalannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan