21 Muharram 1433H. [MOD] -
TAIPING – Umpama hidup dalam hutan, itulah yang dirasai seorang penduduk di Taman Aulong Lama, di sini apabila hampir tujuh lot tanah di sekeliling rumah ditumbuhi semak samun dan tidak dibersihkan sejak 23 tahun lalu.
Seorang penduduk, Ahmad Sharif, 56, berkata, tanah berkenaan dimiliki oleh individu yang tidak menetap di kawasan itu.
Dia turut mendakwa pemilik tanah berkenaan tidak pernah datang membersihkan tanah mereka.
"Pemilik tanah sememangnya tidak berdepan masalah ini, namun bagi saya sekeluarga, ia mendatangkan bahaya termasuk kehadiran binatang liar.
“Setiap hari begitu banyak nyamuk, kadang-kadang ada ular atau khinzir yang datang ke kawasan rumah. Situasi ini membimbangkan saya,” katanya.
Ahmad berkata, sebelum ini pemilik tanah telah dimaklumkan bahawa masing-masing perlu mendirikan rumah dan jika tidak mereka harus bertanggungjawab untuk membersihkannya.
Tambahnya, pelbagai usaha pernah dilakukan bagi menyelesaikan masalah itu termasuk meminta bantuan Pejabat Daerah dan Tanah.
“Bagaimanapun, saya difahamkan, pihak Pejabat Daerah dan Tanah tidak mampu berbuat apa-apa kerana tanah tersebut adalah milik penduduk.
“Mungkin pihak berkenaan mempunyai kuasa untuk menghantar surat pemberitahuan yang meminta pemilik tanah agar membersihkan tanah masing-masing,” katanya.
Katanya, dalam masa sama, diharap bukan sahaja pihak Pejabat Daerah dan Tanah tetapi pemilik sendiri mungkin boleh tampil untuk membersihkan kawasan berkenaan.
“Saya tidak mahu hingga berlaku sebarang kejadian tidak diingini baru pemilik mahu pun pihak bertanggungjawab memainkan peranan masing-masing,” katanya.
sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan